fbpx
Now Reading
Altimet & Pengurus Bergabung, Tubuhkan ‘SVL TAN Management’

Altimet & Pengurus Bergabung, Tubuhkan ‘SVL TAN Management’

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dapatkan isu trending, tips, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri hiburan sehingga kareernya berkembang sebagai Pengurus Artis di Kartel Record, Yasmeen Zainal bukanlah satu nama asing dikalangan penggiat seni.

Pernah bekerjasama dengan ramai bakat hiburan, Yasmeen yang juga pengurus kepada rapper terkenal, Altimet selama 7 tahun juga sudah membuktikan keupayaannya di dalam industri.

Bersama Altimet sahaja Yasmeen sudah berkali-kali menunjukkan ‘taringnya’ antaranya sebagai Produser Eksekutif untuk 3 album, dua kali sebagai Pengurus Pentas untuk persembahannya di Anugerah Juara Lagu, sebagai Pengurus Jelajah untuk persembahannya di London dan di AS.

Selain itu dia juga bertanggungjawab mendapatkan tawaran pengendorsan, mengendalikan penjenamaan dan pemasaran, dan juga bekerjasama dengan pihak media dan pelbagai syarikat global.

Yakin dengan keupayaan pengurusnya itu, Altimet kemudian nekad untuk terus berganding bahu bersama Yasmeen dan memulakan syarikat mereka sendiri, SVL TAN Management.

Apa yang membezakan SVL TAN Management dengan yang lain? Sudah tentu pengalaman 35 tahun kami di dalam industri hiburan. Kami mempunyai pengetahuan yang mendalam, dan kini sedia untuk menjangkau melebihi batasan tersebut,” jelas Altimet yang merupakan Pengarah Kreatif syarikat tersebut.

Kami sedia untuk menggegarkan dan menetapkan tanda aras baharu industri bagi rakan-rakan kami di dalam industri hiburan tanah air.”

Yasmeen Zainal yang kini merupakan CEO SVLTAN menyatakan bahawa peranannya sebagai pengurus Altimet menjadi penyebab utama dia ingin memulakan syarikat pengurusannya sendiri.

“Saya amat bersemangat tentang industri hiburan, dan sebagai pengurusnya, ia telah memberikan saya peluang untuk melihat bagaimana kesemua di dalam industri ini bergerak. Ia merupakan peranan 360 darjah yang menyeluruh, meliputi kesemua aspek kariernya, dan amatlah menakjubkan untuk melihat bagaimana ianya berkembang.”

“Pengalaman yang ditimba selama ini, bersama dengan pengetahuannya, adalah apa yang saya harapkan boleh melonjakkan industri ini kepada tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Asas teras SVL TAN Management termasuk Pengurusan dan Tempahan Artis, serta Penjenamaan dan Perkhidmatan Konsultan Industri Kreatif dan Pemasaran Hiburan.

“Kami memulakan SVL TAN ketika COVID-19 melanda awal tahun lalu, dan kami sangat bersyukur kerana kami masih berjaya menjalankan operasi seperti biasa, walaupun terdapat banyak cabaran yang ditimbulkan oleh wabak ini,” jelas Yasmeen.

Kami sebenarnya ingin melancarkan SVL TAN secara rasmi dari awal tahun lepas lagi, tetapi kami ingin mengutamakan bakat kami dan fokus pada perniagaan kami terlebih dahulu.”

Buat masa ini, SVL TAN Management mempunyai barisan lima bakat tempatan di bawah pengurusan mereka dan kesemuanya bukanlah calang-calang orang iaitu Cef Selebriti Sherson Lian, Juruhebah Radio ERA Haniff Hamzah, Penyanyi, Hazama dan Saint Kylo dan pastinya, Altimet sendiri.

Anda pasti akan melihat mereka dengan lebih pada 2021 kerana mereka mempunyai beberapa projek menarik yang telah dirancangkan untuk tahun ini.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.