fbpx
Now Reading
[Terkini] PKP Di Seluruh Negara Bermula 12 Mei 2021

[Terkini] PKP Di Seluruh Negara Bermula 12 Mei 2021

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021 .

Menurut Perdana Menteri keputusan tersebut diambil ekoran dari trend kes-kes harian yang semakin meningkat.

Jelas beliau dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

“Kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut Kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19.

“Rantaian jangkitan COVID-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat.

“Sehubungan itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang saya pengerusikan hari ini telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di SELURUH NEGARA

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Selaras tengah pelaksanaan tersebut, di bawah SOP terbaru yang dikeluarkan kerajaan sepanjang PKP 3.0 ini :

1. Larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh;

2. Melarang SEMUA bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri- kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta. Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan. Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam

3. Melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal
4.Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.
Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga

5. Bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada TIGA ORANG SAHAJA termasuk pemandu. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

6.Dine-in di restoran dan kedai makan adalah TIDAK DIBENARKAN. Penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away adalah dibenarkan;

7. Majikan DIWAJIBKAN melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa. BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa;

8.Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah TIDAK DIBENARKAN.

9.Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

10. Operasi Rumah Ibadah Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan;

11. Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.

Walaubagaimanapun, menurut beliau sepanjang pelaksanaan PKP 3.0, semua SEKTOR EKONOMI DIBENARKAN untuk beroperasi. SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Saya berharap semua rakyat terus berdisiplin dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.

“Kita telah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dalam gelombang pertama dan kedua penularan wabak ini. Saya ingin mengingatkan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Kita masih belum menang ” kata beliau menerusi kenyataan itu lagi.

Foto header : Malaymail

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.