Pasangan Kembar Dapat 11A SPM, Banggakan Mak Ayah Dengan Keputusan Cemerlang

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Memandangkan hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah diumumkan, ramai pelajar yang tidak melepaskan peluang berkongsi keputusan peperiksaan masing-masing.

Pencapaian yang dikecapi setiap daripada mereka sudah semestinya patut dibanggakan berikutan pelbagai halangan untuk belajar yang terpaksa ditempuh dalam norma baru.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan keseluruhan SPM 2020 merekodkan sejarah baru dan merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Di Twitter, sepasang kembar telah berkongsi kejayaan kedua-duanya mencapai keputusan 11A.

Menerusi posting yang dimuatnaik, Nurul Syazwina telah bergambar bersama kembar dan ibu bapanya sambil memegang kertas dengan tulisan ‘11A’.

Menurut Syazwina, kedua-duanya bersekolah di tempat yang berbeza. Dia merupakan pelajar dari Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Manakala kembarnya pula bersekolah di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya, seperti dipetik Siakap Keli.

Tambahnya, rahsia mereka berdua mendapat keputusan yang cemerlang adalah dengan belajar bersama-sama walaupun berlainan sekolah dan subjek.

“Kami membantu di antara sama lain mengenai subjek yang lemah dan sukar, bangun awal untuk belajar sama-sama dan membuat rujukan dengan cikgu masing-masing jika kurang faham mengenai sesuatu subjek.”

Foto: Twitter Nurul Syazwina

Pencapaian yang diperoleh pasangan kembar ini sudah semestinya memberikan kegembiraan kerana sekaligus telah membanggakan kedua ibu bapa mereka.

“Kami rasa sangat gembira dapat banggakan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan, kerana berkat doa dan usaha mereka kami berjaya.”

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Syazwina dan kembarnya sedang menunggu tawaran pengajian tinggi. Sekiranya rezeki menyebelahi mereka, kedua-duanya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.