PKP Tidak Tamat Esok, Kerajaan Akan Umum Bantuan Lebih Komprehensif Isnin Atau Selasa – PM
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan ditamatkan esok, sebaliknya fasa pertama akan terus diadakan sehingga nilai ambang kurang 4,000.
Selain itu beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga akan mengumumkan satu bantuan yang lebih komprehensif dan menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada Isnin atau Selasa.
Jelas Muhyiddin, ia juga merangkumi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Ini bagi memastikan kira-kira 12 juta individu atau isi rumah di negara ini yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat yang sukar ketika ini.
“Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama PKP 3.0) dan seterusnya sampai ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak),” kepada dipetik dari laporan Bernama.
Tambah beliau, bantuan yang akan diumumkan kali ini akan mengambil kira keperluan semua kumpulan yang terjejas wabak Covid-19, secara lebih komprehensif jika dibandingkan sebelum ini.
“Perinciannya akan saya maklumkan esok atau lusa supaya semua tahu di mana kita berada, tapi apa yang penting kita beri sokongan kepada semua kumpulan masyarakat,” katanya sambil membayangkan kemungkinan akan terdapat peningkatan dalam bantuan yang akan diberikan itu.