
Curi Elektrik Untuk Lombong Kriptowang, Taktik Licik Guna Pondok Usang Dikesan Polis
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa sangka sebuah pondok terbiar terletak di ladang kelapa sawit di Jalan Padang Kerbau, Miri mengandungi mesin lombong kriptowang bernilai RM225,000.
Perkara ini telah didedahkan oleh Sarawak Energy selepas operasi bersama polis daerah Miri untuk pengawasan kecurian elektrik mendorong mereka kepada penemuan ini.


Operasi yang dijalankan pada 25 Jun ini mendapati bahawa bekalan elektrik telah disambungkan terus ke pondok kayu tanpa meter yang diserbu.
Menerusi pemeriksaan lanjut kedua-dua pihak, 44 mesin kriptowang telah dijumpai beserta dengan modem dan pendawaian tidak standard disambung terus ke transformer berhampiran.


Struktur rumah usang tersebut juga difahamkan tidak kukuh dan berpotensi untuk runtuh pada bila-bila masa semasa angin kencang. Malah, ia turut menimbulkan risiko letupan elektrik disebabkan oleh pendawaian yang tidak selamat.
Laporan polis telahpun dibuat, manakala semua barang disita sebagai bukti berhubung kejadian itu. Pemilik rumah kini di bawah pencarian pihak polis untuk membantu siasatan.

Menurut Sarawak Energy, aktiviti pencurian elektrik berkait rapat dengan perlombongan kriptowang dan taktik menggunakan rumah atau pondok usang yang telah ditinggalkan adalah untuk mengelak daripada dikesan.
Sarawak Energy kini meminta orang ramai yang dapat mengesan atau mengenalpasti sebarang aktiviti perlombongan kriptowang untuk menghubungi khidmat pelanggan mereka pada nombor 1300-88-3111 atau menerusi emel customercare@sarawakenergy.com.