“Power Betul”- Siap Angkat Buah Kelapa Sawit, Kegagahan Gadis Ini Dikagumi Ramai
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
‘Kecil-kecil cili padi’. Seseorang yang bertubuh kecil tetapi mempunyai sifat yang berani di dalam sesuatu perkara.
Begitulah yang digambarkan seperti kisah seorang gadis bertubuh kecil ini mampu melakukan kerja di kebun kelapa sawit seperti yang biasa dilakukan oleh orang lelaki.
Pemilik nama Nor Syazwani Nor Azman ini juga mampu membuktikan bahawa saiz bukan sesuatu penghalang untuk dirinya mengangkat dan memunggah buah kelapa sawit.
Menerusi laporan Harian Metro, gadis yang mesra disapa sebagai Syazwani itu membantu bapa saudaranya mengambil upah menuai kelapa sawit di kebun milik penduduk tanah rancangan Felda berkenaan.
Syazwani yang mempunyai berat badan 40 kilogram itu berkata dia membantu menyusun pelepah kelapa sawit dan membawa buah ke platform berhampiran jalan. Jika ia dekat, gadis itu akan menggunakan besi pengangkat buah kelapa sawit dan sekiranya jauh, dia akan menggunakan kereta tolak.
Difahamkan, gadis berkenaan telah melakukan pekerjaan ini sejak berumur 15 tahun lagi. Menurutnya, dia mula melalukan pekerjaan tersebut selepas keadaan ketika itu tidak mengizinkannya untuk menyambung belajar.
Gadis berusia 20 tahun itu juga memaklumkan bahawa dia bertekad untuk melakukan kerja di kebun memandangkan dia tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran. Tambahnya lagi, dia mampu memperoleh upah sekitar RM400 sebulan dan menggunakan duit itu untuk perbelanjaan sendiri.
Apa yang lebih menarik, Syazwani memberitahu dia tidak mengambil sebarang vitamin atau supplement untuk sentiasa kuat dan bertenaga tetapi hanya makan apa yang dimasak oleh ibunya sahaja. Walaupun memiliki tubuh badan yang kecil, gadis ini juga mampu mengangkat setandan buah kelapa sawit yang dianggarkan seberat 25 kilogram.
Kekuatan Syazwani dalam mengangkat buah sawit itu ternyata dikagumi ramai. Majoriti warganet memberikan kata-kata pujian buat Syazwani dan menganggap gadis tersebut seorang yang kuat dari segi mental dan fizikal.
Menurut netizen, tidak semua individu mampu mengangkat setandan buah kelapa sawit. Hal ini disebabkan berat buah tersebut adalah sama seperti satu tong gas yang sudah pasti sangat berat.
Bahkan, ada juga yang turut memberi nasihat agar gadis tersebut berhati-hati dan menjaga postur badannya ketika mengangkat buah berkenaan untuk mengelakkan sebarang kecederaan.