Jual Barang Preloved Untuk Dana Food Bank, Radin Gembira Berjaya Raih RM7000 Hasil Kutipan
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini penyampai radio Era, Radin telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM7,000 termasuk hasil daripada jualan baju terpakai dan sumbangan daripada beberapa kenalan rapat serta orang ramai.
Menerusi perkongsian video di laman Instagramnya, Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani memaklumkan bahawa dia gembira apabila projek food bank berjalan dengan lancar sepanjang dua hari dijalankan.
Difahamkan, pengacara popular itu juga memberikan RM500 daripada dana tersebut kepada rakan penyampai radio iaitu Hefny Sahad yang turut melakukan misi bantuan kepada golongan yang memerlukan dan RM500 kepada beberapa individu yang meminta bantuan melalui direct message di Instagramnya.
Tambah penyampai radio itu, dia gembira dapat mengumpul jumlah sebanyak RM5000 hasil jualan koleksi baju dan keseluruhan RM7000 setelah dicampur dengan sumbangan orang awam.
“Hampir 80 pack barangan tersebut termasuk beras, telur, bihun, minyak masak dan mi segera.” Ujar Radin yang memberitahu barang-barang tersebut akan diletakkan di kedai kawannya, Ezwan Zain iaitu pemilik restoran Kueh Cafe di Shah Alam yang juga turut serta dalam misi ini.
Malah, dia turut menyediakan keperluan seperti tuala wanita bagi individu yang memerlukan.
“Tidaklah banyak mana, tapi kita cuba mana yang mampu”
Dalam video tersebut, Radin sempat meluahkan rasa syukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua netizen yang membeli koleksi baju miliknya dan individu yang banyak membantu menjayakan misi bantuan tersebut.