fbpx
Now Reading
Terima Beberapa Laporan, Polis Tahan Pemilik Rumah Bonda Bagi Bantu Siasatan

Terima Beberapa Laporan, Polis Tahan Pemilik Rumah Bonda Bagi Bantu Siasatan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Media sosial baru-baru ini hangat memperkatakan mengenai kes penderaan membabitkan seorang remaja sindrom down, Bella yang didakwa didera di sebuah rumah kebajikan swasta yang terletak di Jalan Kukuban, Taman Setapak, KL.

Pendedahan demi pendedahan mengenai kes Bella kemudian mula membuka mata orang ramai sehingga netizen mula melaungkan #JusticeForBella dengan harapan dia mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Peka dengan isu tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat kemudiannya membuat siasatan dan akhirnya berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menyita rumah kebajikan pada 5 Julai.

Mereka dalam masa kemudian membuat keputusan menarik balik hak penjagaan 6 kanak-kanak termasuk Bella dan membawa mereka keluar dari rumah penjagaan yang dikenali sebagai Rumah Bonda.

Baca artikel berkaitan : Isu Kes Dera Adik Bella, JKM Sita Rumah Kebajikan & Tarik Hak Penjagaan 6 Kanak-Kana

Terbaru, pemilik Rumah Bonda difahamkan sudah ditahan polis pada 10.30 pagi khamis bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, penahanan tersebut dilakukan selepas wanita tersebut hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Polis buat permohonan reman

Jelasnya polis sudahpun mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Beliau dalam masa sama turut memohon orang ramai agar memberikan kepercayayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

“Masyarakat perlu memahami, kita perlu ambil kira banyak aspek perundangan ketika jalankan siasatan, termasuk hak undang-undang serta keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk situasi semasa.

“Sehubungan itu, kita minta masyarakat untuk terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Terdahulu pada 6 Julai lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof dalam satu kenyataan berkata, polis menerima laporan mengenai kes penderaan remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah penjagaan di Taman Setapak pada 24 Jun lalu.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.