Doktor Di China Maut Selepas Dijangkiti Virus Monyet
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak penularan wabak Covid-19 setahun yang lalu, kita kerap diperdengarkan dengan beberapa laporan mengenai kemunculan virus-virus baharu dan pelik di China antaranya Norovirus dan G4 EA H1N1
Terbaharu, seorang doktor perubatan veterinar dari Beijing dilaporkan maut selepas dijangkiti sejenis virus yang dikenali sebagai virus Monkey B, sejenis virus bawaan kera yang mula dikesan pada tahun 1932 namun sangat jarang menjangkiti manusia.
Menerusi laporan Washington Post yang memetik laporan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China, doktor haiwan berusia 53 tahun itu difahamkan adalah seorang pakar bedah veterinar di sebuah institusi yang berpangkalan di Beijing dimana kepakarannya ialah menjalankan eksperimen melibatkan spesies primat bukan manusia (NHP) .
Difahamkan dia pada mulanya telah membedah dua ekor monyet mati sekitar awal Mac yang lalu. Namun sebulan kemudiannya, dia mula menunjukkan gejala awal jangkitan seperti demam, mual serta muntah, selain gejala neurologi.
Dia kemudian telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital disana sebelum akhirnya disahkan meninggal dunia 27 Mei lalu. Hasil bedah siasat kemudiannya mendapati kematian beliau berpunca daripada jangkitan virus Monkey B tersebut atau turut dikenali sbagai B Virus (BV). Virus tersebut ditemui pada sampel darah dan air liur doktor tersebut.
Dua kontak rapat beliau iaitu pembantu doktor yang turut terlibat dalam pembedahan monyet tersebut bagaimanapun disahkan negatif. Malah ujian saringan dilakukan ke atas ahli keluarganya turut mendapat keputusan serupa.
Sebagai rekod, B Virus yang telah ditemui pada tahun 1932 hanya merekodkan 50 kes jangkitan dimana 21 darinya dilaporkan maut dengan kebanyakan kes berlaku di Amerika Utara.
Ia berjangkit menerusi kontak rapat dan rembesan cecair, seperti virus herpes simpleks (HSV) pada manusia.
Foto : The Atlantic