fbpx
Now Reading
Selain Pawagam & Penggambaran, Ini Senarai Aktiviti Industri Kreatif Yang Dibenarkan Beroperasi Mulai 9 September

Selain Pawagam & Penggambaran, Ini Senarai Aktiviti Industri Kreatif Yang Dibenarkan Beroperasi Mulai 9 September

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Selepas sekian lama menanti, kerajaan hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif bermula 9 September antaranya operasi pawagam dan aktiviti penggambaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata kelonggaran ini bakal memberi kelegaaan kepada 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

“Industri kreatif menyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

“Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN.

Di bawah adalah senarai penuh aktiviti-aktiviti industri kreatif yang akan kembali dibenarkan bermula 9 September ini :

#1 Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
#2 Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
#3 Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin.
#4 Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin.
#5 Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin
#6 Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.
#7 Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
#8 Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.