fbpx
Now Reading
Tiada Gelembung Pelancongan Seterusnya Jika Langkawi Gagal – Hishammuddin

Tiada Gelembung Pelancongan Seterusnya Jika Langkawi Gagal – Hishammuddin

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin hari ini menjelaskan projek rintis gelembung perjalanan di Pulau Langkawi, Kedah akan dijadikan sandaran untuk membuka lebih banyak destinasi pelancongan selepas ini.

Namun sekiranya gagal, kerajaan tidak akan meluluskan lagi mana-mana gelembung pelancongan untuk destinasi lain.

Perkara itu diumumkan beliau menerusi satu sidang media di Parlimen hari ini.

“Kalau nak dikirakan, gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi ini tidak mengira fasa negeri, sebaliknya bersandarkan keperluan lengkap vaksinasi dan bukan dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagaimanapun, jika Pulau Langkawi gagal (sebagai gelembung pelancongan), maka tiada lagi gelembung untuk ke destinasi lain yang akan diluluskan,” katanya pada sidang media tersebut.

Bukan atas faktor ekonomi tapi atas dasar kebajikan rakyat

Mengakui kewujudan gelembung pelancongan boleh mengundang gelombang baharu penularan jangkitan, Hishamuddin bagaimanapun berdendapat rakyat memerlukan kelonggaran berkenaan selepas hampir dua tahun mengharungi pandemik COVID-19.

“Justeru, keputusan ini dibuat atas dasar kebajikan rakyat, tiada kena mengena dengan ekonomi, selepas sekian lama terkurung di rumah.

“Ia bukan mudah untuk kita benarkan pergerakan rentas negeri seperti ini, tetapi kerajaan perlu juga melihat kesan kesihatan mental yang perlu diseimbangkan.

Mengulas mengenai mekanisme pelaksanaan gelembung pelancongan, beliau berkata, beberapa keperluan antaranya melakukan saringan sebelum dibenarkan ke Pulau Langkawi ketika ini sedang diperhalusi.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai yang ingin bercuti di pulau peranginan itu turut dinasihati untuk mengamalkan kawalan kendiri dan disiplin semasa melancong bagi mengelakan penularan jangkitan dalam kalangan pengunjung.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri untuk meneliti projek rintis Pulau Langkawi yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua hari lagi.

“Ini termasuk keperluan melakukan ujian saringan sebelum dibenarkan berkunjung ke Pulau Langkawi, meskipun individu berkenaan sudah lengkap dos suntikan imunisasi COVID-19.

“Kita juga meminta segenap prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan untuk dipatuhi dan sekiranya gagal, jawatankuasa pemantauan serta penguatkuasaan akan mengambil tindakan,” katanya.

Kerajaan pada 9 September mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.