Berbulan Menghilangkan Diri, Sajat Akhirnya Ditahan Pihak Berkuasa Thailand
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selepas hampir 5 bulan menghilangkan diri, usahawan kosmetik yang kini buruan, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman akhirnya dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Menerusi laporan Harian Metro, penahanannya berjaya dilakukan pasukan imigresen Thailand di Bangkok selepas pihak berkuasa Malaysia memberikan maklumat mengenai kebeberadaannya.
Usahawan itu dikatakan ditahan bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand di sebuah kondominium mewah di Bangkok sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand diatas kesalahan berkaitan imigresen.
“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.
“Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” kata sumber dipetik Harian Metro.
Didakwa pada 9 September tapi dibebaskan dengan jaminan pada 10 September
Sajat kemudiannya didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September namun dibebaskan dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) oleh seorang warga tempatan yang dikenali sebagai Misha pada keesokan harinya.
Meskipun bebas dengan jaminan Sajat kini diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.
“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.
Pihak berkuasa Malaysia ketika ini sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa kembali Sajat ke Malaysia. Ia bagaimanapun agak sukar kerana terdapat campur tangan pihak antarabangsa serta pertubuhan tertentu.
Sedang berusaha untuk pindah ke Australia
Menerusi laporan sama, dia juga didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia.
“Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Nur Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.
“Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.
“Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok,” katanya.
Difahamkan ibu pejabat UNHCR di Bangkok itu juga sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.
Tambah sumber lagi, Sajat menggunakan alasan yang dia telah mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia.
Selain itu diturut mendakwa kini diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).