
‘Ekzos Bising Tak Buat Motosikal Jadi Laju ‘- Polis
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan tindakan mengubah suai ekzos motosikal tidak dapat menambahkan kelajuan kenderaaan seperti yang dipercayai oleh kebanyakan mat rempit, sebaliknya ia hanya mendatangkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam.
Menurut Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu lintas, Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain, ia sebenarnya hanyalah mitos yang sudah menjadi kepercayaan golongan mat rempit hingga mendorong ramai dari mereka untuk melakukan kesalahan itu.
Jelasnya lagi, hasi siasatan mendapati, ramai golongan mat rempit mengubah suai ekzos motosikal masing-masing hanyalah semata-mata atas dasar menunjukkan ego dan mendatangkan ancaman kepada pesaing ketika berlumba.
“Siasatan mendapati, tindakan itu tidak mampu memberikan kelajuan kepada sesebuah motosikal, sebaliknya ia sekadar untuk memberi persaingan bunyi kepada lawan.
“Ramai ingat bila ubah suai ekzos motosikal, kelajuannya akan meningkat. Itu tidak benar sama sekali. Kapasiti cc motosikal dengan kelajuan adalah seiring dan tiada kena mengena dengan ekzos,” kata Nadzri.

Bukan sahaja menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan komuniti serta pengguna jalan raya dengan bunyinya yang membinggitkan, mengunakan ekzos sebegini juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam masyarakat.
Ianya sudah terbukti didalam satu kes di Sepang pada 2018 dimana seorang lelaki menyerang lima remaja kerana berang dengan bunyi ekzos motosikal mereka.
“Jiran pemilik motosikal tersebut sebelum itu beberapa kali menegur perbuatan mereka yang sering membuat bising dengan menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi ekzos bising,” ujarnya.

Rancang satu operasi khas bunyi bersama agensi lain
Tambah beliau lagi, JSPT juga sedang merancang satu operasi khas ‘bunyi bising’ yang akan dijalankan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepanjang masa di seluruh negara.
“Saya akui ada yang menyarankan PDRM menerusi JSPT agar memberi tumpuan kepada operasi pemandu mabuk berbanding memeriksa ekzos motosikal. Sebenarnya, kedua-dua isu tetap dalam pemantauan dan pemerhatian kita.
“Menjadi tanggungjawab PDRM untuk melindungi dan menjaga keselamatan serta keselesaan masyarakat, komuniti dan pengguna jalan raya dari terbelenggu dengan isu pengubahsuaian ekzos yang mengeluarkan bunyi bising,” katanya lagi.