Teruk Dikecam Kerana Hina Atlet Badminton Negara & Guna Ayat Rasis, Lelaki Ini Tampil Mohon Maaf
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Teruk dikecam kerana memuat naik perkongsian bernada hinaan dan perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona, seorang pengguna Facebook, Borhanuddin Che Rahim akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dia yang juga seorang ahli politik dan memegang jawatan sebagai Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh menzahirkan permohonan maaf menerusi sepucuk surat yang lengkap dengan tandatangannya.
“Saya mengaku telah melakukan kesalahan dan telah menyedari melakukan kesalahan yang besar terhadap kenyataan tersebut.
“Dengan ini saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada yang terkesan akibat posting tersebut.
“Saya tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana orang dan kaum. Saya juga akan memperbaiki sikap saya kelak.
Menerusi surat sama, dia turut menawarkan diri untuk melepaskan jawatan yang kini disandangnya dalam parti politik.
“Oleh demikian, atas rasa tanggungjawab, saya bersedia menawarkan diri melepaskan jawatan saya sebagai penjawat parti (Naib Ketua Bersatu Bahagian Pasir Puteh) demi menjaga nama baik parti,” tulis lelaki itu lagi.
Surat sama turut dikongsikan laman Facebook Parti Pribumi Bersatu Bahagian Pasir Puteh.
Permohonan maaf tersebut bagaimanapun kurang disenangi ramai netizen. Ada yang memintanya untuk terus meletakkan jawatan selain turut memohon maaf kepada Kisona sendiri.
Malah ramai berpendapat tindakannya agak melampau kerana boleh mencetuskan perbalahan diantara kaum.
Terdahulu, hantaran Borhanuddin bukan sahaja mendapat kecaman netizen malahan turut dikritik hebat Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut membidas kenyataan berkenaan.
Jelasnya kenyataan tersebut tidak wajar dan disifatkan biadap memandangkan kesemua pemain negara tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Ada di kalangan keluarga Malaysia kita ini dia macam umpama setandan pisang, ada yang elok ada yang buruk.
“Jadi ada juga keluarga kita ini yang bangang-bangang dan bodoh yang tak tahu guna bahasa baik tak kira keluarga Malaysia kita ini dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut.
“Jangan kita hina bangsa, kulit, agama sesiapa juga yang telah berjuang untuk negara kita,” kata Ahmad Faizal dipetik dari Awani.