fbpx
Now Reading
Berbasikal Di Lebuhraya Adalah Dilarang, Boleh Didenda RM5,000 & Penjara 12 Bulan

Berbasikal Di Lebuhraya Adalah Dilarang, Boleh Didenda RM5,000 & Penjara 12 Bulan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui salah satu trend yang paling menjadi pilihan ramai ketika ini adalah sukan berbasikal. Bukan hanya dikalangan anak muda, malahan sukan ini turut menjadi pilihan semua golongan termasuklah selebriti sebagai aktiviti riadah.

Namun kemeriahan hobi yang semakin mendapat tempat itu bagaimanapun telah menimbulkan beberapa isu khususnya berkaitan keselamatan sehingga mendapat kritikan netizen di laman sosial.

Ianya disebabkan sikap segelintir dan sekelompok pengayuh basikal yang dilihat cuba bermaharajalela di jalan raya tanpa mempedulikan pengguna jalan raya yang lain antaranya dengan mengayuh di lorong tengah selain berani mengayuh di lebuh raya.

Perlu kebenaran PDRM dan LLM

Isu tersebut turut mendapat perhatian Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim yang menjelaskan orang ramai sebenarnya dilarang menunggang basikal di lebuh raya tanpa kebenaran PDRM dan juga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Mereka yang melanggar arahan dan undang-undang berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

“Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Tak pasang lampu depan dan belakang juga satu kesalahan

Tambah beliau lagi mereka yang tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal juga boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Selain itu, bagi Kaedah 42 pula, penunggang yang basikalnya tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan juga boleh dikenakan hukuman sama.

“JSPT setakat hari ini hanya mengambil tindakan advokasi terhadap penunggang basikal yang berkayuh secara berkelompok di jalan raya.

“Polis tidak menghalang aktiviti berbasikal namun harus mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.