Untuk Bekalan Akhirat, Impian Atu Zero Miliki Van Jenazah Tercapai, Rancang Bina Masjid Pula
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mereka yang mengikuti perkembangan pelawak, Atu Zero pasti tahu beliau dan isteri, Shafeeqa Johari antara individu yang banyak membantu petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan PPE sejak Covid-19 mula melanda negara.
Bukan itu sahaja mereka juga aktif mengusahakan program pengurusan jenazah di Kudat, Sabah, sejak tahun 2019 selain banyak menyumbang kain kafan secara percuma kepada orang miskin.
Terbaru, siapa sangka impian Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif, 29 untuk menyumbangkan van jenazah di sana turut tercapai.
Menerusi perkongsian di Instagram, Shafeeqa telah memuat naik video berkongsi kegembiraan mereka membeli sebuah van yang akan diubahsuai menjadi van jenazah untuk dibawa ke Kudat.
Perkongsian tersebut nyata menarik perhatian orang ramai yang rata-ratanya memuji kerja amal yang berterusan dilakukan mereka.
Menerusi Harian Metro, Atu menjelaskan dia setakat ini belum lagi menghantar van jenazah terebut yang baru sahaja dibelinya dengan harga RM121,000 ke Sabah memadangkan ianya perlu menjalani pengubahsuaian seperti dilengkapi tempat mandi jenazah bagi tujuan pengurusan yang lebih sistematik.
“Saya tak menjangka impian untuk memiliki sebuah van jenazah menjadi kenyataan. Saya akui gembira walaupun orang kata itu ayat klise.
“Saya amat berterima kasih kepada sahabat yang tidak putus membantu dalam urusan ini. Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan ganjaran buat kita semua,”katanya.
Belum tahu kos ubahsuai tapi akan diusahakan dalam masa terdekat
Tambahnya kerja pengubahsaian akan diusahakan dalam masa terdekat namun dia masih belum mengetahui kos bagi kerja-kerja berkenaan.
“Saya mahu van jenazah ini dilengkapi kemudahan memandikan jenazah termasuk sistem paip yang baik. Saya pernah tengok van bapa mentua Ajak Shiro di Kluang, Johor yang seumpama itu” katanya dipetik dari Metro.
Tanam Impian bina masjid di Kudat
Dalam pada itu Atu turut memaklumakn dia juga berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan misi van jenazah untuk fakir miskin sehingga ke Sarawak. Tambahnya lagi dia turut memasang impian untuk membina sebuah masjid di Kudat.
“Biarlah harta saya tidak banyak di dunia tetapi adalah sedikit bekalan yang boleh saya bawa ke akhirat nanti. Saya mohon doa semua agar impian ini dimakbulkan Allah,” katanya.