Video Jarak Dekat Juruterbang TUDM ‘Beraksi’ Di Udara Buat Ramai Teruja & Bangga [Video]
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bergelar seorang rakyat marhaen atau orang awam, kita sememangnya kurang berpeluang untuk melihat aset-aset yang dimiliki pasukan keselamatan negara kita khususnya Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
Meskipun terdapat demonstrasi dan pertunjukan khas yang dilakukan mereka antaranya sewaktu acara perbarisan Hari Kebangsaan atau pun semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), aksi memukau dari kebanyakan ‘Top Gun’ ini hanya dapat dilihat dari jauh dan dari kawasan darat.
Namun siapa sangka satu video epik yang dikongsikan seorang Aircraft Photographer, Iwan Shafiee di akaun media sosialnya antaranya di laman YouTube memperlihatkan kompilasi rakaman video dan foto Air To Air puluhan pesawat milik TUDM beraksi di ruang angkasa membuatkan ramai orang teruja.
Video tersebut bukan sahaja berjaya merakam dari jarak dekat aksi tangkas dan kecekapan juruterbang-juruterbang TUDM menerbangkan pesawat mereka, malah rakaman tersebut diambil sepenuhnya dari udara oleh sekumpulan 6 jurufoto dan juruvideo (semua tempatan) dari MMAP yang diketuai Iwan Shafiee sendiri dari sebuah kapal pengangkut jenis C-130 Hercules milik TUDM dan Helikopter jenis EC-725.
Menurut jurugambar berpengalaman itu lagi, aksi tersebut sebenarnya dirakam pada tahun 2019 namun ia hanya dikongsikan kepada orang ramai pada 2021 di akaun Youtube nya bersempena dengan Hari Ulang Tahun TUDM ke-63 pada Jun 2021 yang lalu.
Menerusi video dan foto tersebut dapat dilihat kehadiran lebih 30 aset TUDM berterbangan di udara baik secara solo atau pun dalam formasi dengan formasi terbesar melibatkan 21 pesawat TUDM.
Namun tumpuan utama pastinya pada pesawat gempur mereka iaitu Sukhoi SU-30MKM, F/A-18D Hornet (F18) dan juga BAE Hawk.
Yang menariknya video tersebut turut membuktikan kehebatan dan keberanian barisan pilot kita dalam melaksanakan penerbangan formasi rapat untuk air to air photo op tersebut; sesuatu perkara yang jarang kita dapat lihat dari mana-mana pilot pesawat juang negara luar kecuali dari pilot Rusia seperti dalam video ini :
Dapat lihat suar dilepaskan dari jarak dekat!
Malah menerusi video sama, orang ramai dapat melihat secara dekat beberapa aksi menarik dari pesawat pejuang seperti F18 dan SU-30MKM antaranya aksi melepaskan suar mereka yang biasanya digunakan sebagai alat pertahanan anti peluru.
Perkongsian itu bukan sahaja mengujakan malah membuka mata ramai penggemar dunia ketenteraan khususnya rakyat Malaysia yang pasukan TUDM juga begitu berkebolehan malah sentiasa siap siaga dengan apa sahaja situasi di ruang angkasa demi melindungi negara tercinta.
“TUDM Mampan Ruang Angkasa Aman!”