fbpx
Now Reading
Menjelang Hari Ke-100, Ini Antara Inisiatif Yang Sudah Diterima Para Pelajar

Menjelang Hari Ke-100, Ini Antara Inisiatif Yang Sudah Diterima Para Pelajar

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada awal pembentukan kabinet, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan jemaah menteri perlu memberikan kad laporan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari. 

Memandangkan AKM 100 mula dilaksanakan pada 1 September 2021, hari ke-100 akan jatuh pada 9 Disember ini.

Bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mereka telah menyasarkan 4 perkara utama untuk kebaikan mahasiswa IPT bersesuaian dengan slogan #KPTPrihatin yang menjadi hikmat utama mereka. 

Jadi berikut kami kongsikan AKM 100 Hari KPT diikuti pencapaian terkininya : 

#1 FOOD@CAMPUS KELUARGA MALAYSIA

Program pemberian baucar makanan percuma ini adalah inisiatif KPT dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi pelajar dan keluarga B40 secara bersasar.

Bagi program ini, KPT menganggarkan sebanyak 443,760 baucar makanan dapat disediakan dengan nilai sebanyak RM15.00 bagi setiap baucar dengan dua kaedah pelaksanaan iaitu baucar digital melibatkan lima universiti dan baucar tunai untuk 15 lagi universiti.

Menurut KPT 88,752 orang pelajar B40 bersasar yang telah dikenal pasti oleh universiti masing-masing yang akan menerima manfaat inisiatif ini.

Bagaimana pencapaiannya setakat ini? 

Difahamkan setakat 12 November, pihak KPT sudah berjaya mengagihkan sebanyak 382,259 baucar makanan kepada kumpulan sasaran.

Manakala baki 61,501 lagi sedang diagihkan dalam masa terdekat. 

#2 VACC2CAMPUS

VACC2CAMPUS ialah program pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi selaras dengan pembukaan kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober 2021 yang lalu .

Dengan sasaran 100% warga IPT ​​yang berjumlah 1,276,267 orang meliputi graduan, staf akademi dan staf bukan akademi, tujuan utamanya adalah untuk membentuk komuniti kampus yang selamat dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimana pencapaiannya setakat ini? 

Menerusi data yang dikongsikan, setakat ini sebanyak 86% atau 1,086,469 orang telah menerima vaksinasi lengkap, di mana 959,917 adalah dari kalangan pelajar manakala 126,552 bagi staf akademi dan bukan akademik.

​​Kementerian menjangkakan 100% warga pendidikan tinggi akan lengkap divaksin pada 7 Disember 2021.

#3 RTK@Campus

KPT turut memperkenalkan RTK@Campus, inisiatif mereka dalam membekalkan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada mahasiswa IPT.

Bagi program ini KPT akan membekalkan 1.16 juta unit RTK melibatkan kos peruntukan sebanyak RM17.5 juta

Bagaimana pencapaiannya setakat ini? 

KPT sudah berjaya membekalkan 1,169,728 kepada IPT. Meskipun sudah melepasi sasaran awal iaitu 1.16 juta, pihak KPT menjangkakan akan terus mengedarkan sejumlah lagi unit RTK selewat-lewatnya pada penghujung November. 

Bagi AKM ini, walaupun terdapat beberapa cabaran dalam menjayakan aspirasi ini antaranya untuk mengenal pasti pelajar B40 yang betul-betul memerlukan bantuan, semua ini berjaya diselesaikan ​​dengan kerjasama pihak universiti awam dalam memastikan data pelajar yang ada dikemas kini secara telus, pantas dan tepat.

#4 GETHIRED@KPT

KPT turut menawarkan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT

Bagi program ini, kementerian tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 13,000 pelajar warganegara Malaysia mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan bagi tempoh tiga bulan, iaitu September hingga November 2021.

Dalam menjayakannya, KPT telah melaksanakan empat inisiatif utama iaitu PENJANA KPT-CAP; Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan; dan Structured Internship Program (SIP) dan Program Keusahawanan.

Bagaimana pencapaiannya setakat ini? 

Inisiatif ini sudah berjaya dilaksanakan sepenuhnya memandangkan mereka sudah mencapai 100% sasaran apabila 13,231 graduan sudah pun mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan. 

Mereka sebelum ini menyasarkan sekurang-kurangnya 13,000 pelajar yang akan menerima bantuan berkenaan.  

Dilihat dari angka dan peratusan, kesemua inisiatif ini sudah pun berjaya dilaksanakan meskipun pihak kementerian sebelum ini berdepan dengan beberapa kekangan antaranya dalam menganjurkan program secara bersemuka ekoran dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.