“Jangan Gopoh.. ” – Rakyat Masih Susah, Nazri Aziz Tak Setuju PRU 15 Diadakan Dalam Masa Terdekat
Jelas Nazri, sebaiknya selesaikan isu ekonomi rakyat dan Undi 18 dahulu sebelum diadakan PRU15.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru sahaja selesai dengan menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional yang berjaya menawan dua pertiga dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Mungkin terlalu gembira dengan perkembangan positif tersebut, beberapa kepimpinan tertinggi Barisan Nasional seperti Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mula mengutarakan pandangan mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.
Menurut Ahmad Maslan, ia wajar diadakan memandangkan momentum BN yang baik ketika ini ekoran kemenangan pada PRN Melaka.
“Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.
“Berhubung PRU15, ia akan dibincangkan selanjutnya dengan pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai hasrat UMNO,” katanya dipetik dari Harian Metro.
Namun pendapat yang diutarakan Ahli Parlimen Padang Renggas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilihat sedikit tidak senada dengan mereka.
Menurut Nazri, situasi Covid-19 yang sedang melanda negara adalah tidak sesuai untuk mengadakan PRU sebaliknya kerajaan patut memberi tumpuan pada aktiviti memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang baru mahu memulakan hidup akibat COVID-19.
Jelasnya mengadakan pilihan raya pastinya menelan kos yang besar dan wang tersebut sebaiknya digunakan untuk rakyat.
“Saya bersetuju kalau nak buat apa-apa untuk kepentingan rakyat bukan parti, tetapi kena ingat buat masa ini kalau kita sebut kepentingan rakyat, maka bukan bubar Parlimen dan adakan pilihan raya.
Lebih baik berbelanja untuk rakyat
“Kalau betul nak jaga kepentingan rakyat, kena tengok sekarang rakyat tengah susah sebab COVID-19 masih belum reda dan pemulihan ekonomi masih berjalan.
“Belanja untuk lakukan PRU15 tentulah besar. Kalau PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka pun perbelanjaannya cecah RM45 juta, bayangkan kalau PRU15?.
“Buat masa ini lebih baik perbelanjaan sebesar itu digunakan untuk membantu rakyat dengan memulihkan ekonomi mereka, barulah rakyat lihat kita jaga kepentingan mereka,” kata Nazri dipetik dari Awani.
Akan mengkhianati janji pada anak muda yang tidak sempat mengundi
Tambah bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu lagi, keputusan mengadakan pilihan raya itu juga akan menyebabkan parti mereka dilihat seperti mengkhianati anak muda kerana mereka yang berumur 18 tahun tidak sempat mengundi.
Sebaliknya menurut Nazri, PRU15 patut diadakan pada 2023 selepas segala proses bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi dapat diselesaikan.
“Kalau buat selepas segala urusan bagi membenarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi, maka UMNO akan dapat dilihat ikhlas mahu anak muda terlibat dalam proses pembentukan kerajaan.
“Kalau bubar (Parlimen) tahun ini, anak muda akan lihat UMNO dan BN khianati mereka dan tidak jujur sebab ketika Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, Ahli Parlimen UMNO menyokong usul meminda Perlembagaan untuk membolehkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi.
“Jadi jangan gopoh, selesaikan pemulihan ekonomi rakyat, selesaikan urusan untuk benarkan umur 18 tahun mengundi, barulah adakan PRU15, seeloknya 2023.
“Jadi kita jangan buat sampai rakyat pulak hukum kita kerana ghairah nak adakan PRU15,” kata Nazri memberi peringatan.
Beliau sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU 15 sekaligus bersara dari politik selepas lebih 26 tahun menceburi dunia politik.