fbpx
Now Reading
Hikmah Sebalik PKP, Pelajar Bersyukur Abang Yang Dulu Renggang Banyak Bantu Harungi PdPR

Hikmah Sebalik PKP, Pelajar Bersyukur Abang Yang Dulu Renggang Banyak Bantu Harungi PdPR

Dia sama sekali tidak menyangka abangnya banyak membantu dari segi kewangan dan moral ketika dia menjalani PdPR

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bak kata pepatah “Air dicincang tak akan putus”, begitulah istimewanya hubungan adik-beradik.

Meskipun ada yang mungkin tidak sehaluan, lambat laun hubungan mereka pasti akan kembali mesra kerana pertalian yang unik ini akan kekal selamanya.

Hal ini dapat dikaitkan dengan perkongsian seorang guru, Cikgu Anep di laman Twitter mengenai pengalaman anak muridnya yang menyifatkan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawasalan Pergerakan (PKP) telah membuka matanya bahawa dia sebenarnya memiliki seorang abang yang begitu penyayang dan mengambil berat tentangnya.

Foto : Pixabay

Mengakui yang hubungan mereka dahulunya begitu renggang malahan seperti orang asing, pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Perlis ini menjelaskan keadaan menjadi sebaliknya selepas dia mula mengharungi PdPR di rumah.

Apa yang kamu belajar dari pandemik ini?

“Saya baru sedar yang abang saya sebenarnya sayang akan saya.

“Dari kecil kami macam orang luar, masing-masing buat hal sendiri. Kami pernah bergaduh sampai bertumbuk,” kata gadis itu bercerita mengenai hubungannya dengan si abang yang baru menginjak usia 18 tahun.

Sediakan semua kelengkapan PdPR dan bantu adik siapkan kerja seperti fotostat

Bukan setakat menyediakan kelengkapan PdP seperti buku dan alat tulis, si abang turut membantu menyiapkan tugasan adiknya seperti melakukan kerja fotostat dengan menggunakan alasan telah diarahkan oleh ayah mereka.

Apa yang lebih mengharukan si gadis, abangnya turut membelikan peranti untuk kegunaan PdPR namun menyatakan itu adalah pemberian si ayah untuk adiknya.

Si gadis bagaimanapun hanya mengetahui perkara itu selepas ayahnya menafikan perkara berkenaan.

“Bila saya tanya ayah, ayah nafikan. Ayah kata ayah tak pernah suruh abang beli buku, fotostat semua tu. Handphone lagilah tak.

“Saya nangis cikgu. Sebab keluarga saya orang susah..”

Dia kemudian bersemuka dengan si abang dan bertanya apa yang membuatkan dia bertindak sedemikian.

Si abang kemudian memeluk adiknya dan menjelaskan bahawa dia sebenarnaya menyayangi si adik namun tidak mengetahui cara untuk menunjukkan kasih sayang itu.

Perkara tersebut kemudian membuatkan hubungan di antara dua beradik ini akhirnya menjadi sangat rapat.

“Ayah tak mampu belikan saya phone. Saya jumpa abg saya. Saya tanya dia, kenapa dia buat macam tu. Dia peluk saya, dia kata dia syg saya, tapi dia tak pandai nak tunjuk sayang tu. Abg saya baru 18 tahun. Dia sanggup kerja kumpul duit untuk saya. Sejak tu kami jadi rapat sangat”

Kisah ini dikongsikan pelajar tersebut kepada Cikgu Anep selepas mereka kembali mendaftar masuk ke sekolah pada Ahad lalu.

Perkongsian tersebut nyata menarik perhatian pengguna Twitter. Rata-rata dilihat terharu dengan perkongsian guru muda ini. Ramai yang berpendapat abang kepada pelajar itu adalah seorang yang bertanggungjawab malah mengambil berat tentang perihal pendidikan adiknya.

Setakat artikel ini ditulis, ciapan tersebut telah menerima 19 ribu tanda suka, 9,300 ulang ciap dan 1,023 quote tweets.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.