fbpx
Now Reading
Mufti Perjelas Hukum Beli & Guna Android Box

Mufti Perjelas Hukum Beli & Guna Android Box

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan penggunaan Android Box kini semakin meluas di Malaysia. Dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi, ramai beranggapan beralih menggunakannya adalah salah satu langkah yang bijak buat mereka yang ingin berjimat.

Namun ada yang dilihat lebih ‘berani’ apabila cuba mengakses siaran berbayar secara haram dengan menggunakan Android Box yang mereka miliki walhal mempromosi dan menjual kotak Android Box bagi mendapatkan siaran televisyen berbayar secara percuma adalah satu kesalahan.

Semua ini bagaimanapun hanyalah kesalahan di dunia, dan apakah hukum dalam Islam mengenai isu ini.

Menjawab persoalan seorang pengguna,  Pejabat Mufti Wilayah tampil memberi penjelasan berhubung penggunaan Android Box.

Terbahagi kepada dua, ada harus dan haram

Menurut Pejabat Mufti, asal hukum membeli Android Box adalah harus dan tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma.

Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk memintas atau mengakses kandungan yang dilindungi karya hak ciptanya maka ianya adalah diharamkan.

Ini kerana tindakan ini adalah mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Bagi memudahkan anda di bawah kami kongsikan huraian jawapan penuh bagi persoalan berkenaan.

Jawapan ringkas

Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Huraian jawapan

Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.[1] Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.

Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma. Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang. Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut. Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

Surah al-Baqarah (188)

Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak. Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]Fiqh Nawazil 165/2[3])

Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranyya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:

‌الْأَصْلُ ‌فِي ‌الْأَشْيَاءِ ‌الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60)

Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:

‌الْأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk  al-Asybah wa al-Nazoir h.8)

Kesimpulan

Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.