fbpx

Isu Tular Sotong Goreng 2 Ekor RM 100, KPDNHEP Keluar Notis Kepada Restoran

Sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Media sosial sejak semalam hangat memperkatakan mengenai perkongsian seorang individu yang mendakwa harga dua ekor sotong di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Georgetown, Pulau Pinang boleh mencecah hingga RM100.

Dimuat naik seorang pengguna di Facebook, isu tersebut kemudian mula tular sehingga menarik perhatian orang ramai.

“Hati-hati kawan-kawan yang mana nak mai makan nasik kandaq kat Penang. Harga dua ekor sotong boleh cecah sampai RM100,” katanya.

Dia turut berkongsi foto sotong yang agak besar bersama resit yang memaparkan harga bagi dua ekor sotong goreng segar berharga RM100, manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).

Foto : Facebook

Tidak lama kemudiannya wakil dari restoran berkenaan iaitu Restoran Hameediya tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan memaklumkan harga makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual di antara RM10 dan RM150 seekor.

Memandangkan sotong goreng yang dibungkus pasangan berkenaan adalah bersaiz besar harganya adalah di antara RM110 dan RM120 untuk dua orang namun dia sudah memberikan diskaun kepada mereka.

“Saya yang mengambil pesanan pasangan itu, di mana mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.

“Sotong yang digunakannya untuk hidangan sotong goreng appollo ini tidak murah, kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” kata pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim.

Foto : Harian Metro

KPDNHEP siasat

Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sudahpun mengeluarkan notis pengesahan maklumat barangan terhadap pengusaha restoran tersebut.

Menurut Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 selepas penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas premis tesebut.

“Semasa pemeriksaan pegawai penguat kuasa telah merakam percakapan peniaga mengenai isu yang tular bagi membantu siasatan lanjut.

“Pengusaha dikehendaki memberikan maklum balas notis dalam tempoh dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP.

Tambah beliau lagi, kegagalan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.