fbpx
Now Reading
Gara-Gara Muzik Terlalu Kuat, 63 Ayam Dilapor Mati Terkejut

Gara-Gara Muzik Terlalu Kuat, 63 Ayam Dilapor Mati Terkejut

Doktor veterinar yang memeriksa ayam-ayam tersebut kemudian memaklumkan yang ianya mati akibat serangan jantung dipercayai kerana bunyi kuat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tajuknya mungkin kedengaran pelik, namun itulah yang terjadi di Odisha, India apabila 63 ekor ayam dilaporkan mati kerana terkejut dengan bunyi muzik rancak yang terlalu kuat di sebuah pesta perkahwinan.

Bukan itu sahaja, bunyi persembahan bunga api, tarian dan pancaragam di majlis tersebut turut didakwa menjadi punca kepada kematian ayam-ayam berkenaan.

Menurut pemilk ayam, Ranjit Kumar Parida, muzik yang terlalu kuat dari pesta tersebut dapat didengari dengan begitu jelas di ladangnya yang terletak di Bhuneswar pada hujung minggu yang lalu.

Foto : Pexel/Italo Melo

Dia kemudian bergegas ke sana dan meminta pengendali kumpulan muzik itu untuk memperlahankan bunyi namun ianya tidak diendahkan oleh mereka yang dipercayai sedang mabuk.

“Saya meminta pengendali kumpulan muzik itu untuk memperlahankan bunyi kerana terlalu bising dan menakutkan ayam saya.

“Namun, mereka enggan mendengar dan seorang rakan pengantin lelaki memarahi saya,” katanya dipetik dari Hindustan Times.

Mati disebabkan sakit jantung – Veterinar

Doktor veterinar yang memeriksa ayam-ayam tersebut kemudian memaklumkan kepada Parida bahawa ayamnya mati akibat serangan jantung.

Dia kemudian bertindak membuat laporan polis selepas usahanya menuntut pampasan pada penganjur majlis tidak dilayan.

Memetik laporan Hindustan Times, seorang Profesor Zoologi, Suryakanta Mishra yang merupakan penulis buku mengenai kelakuan haiwan menjelaskan bunyi yang terlalu kuat boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan burung.

“Ayam dikawal oleh irama yang dipengaruhi cahaya semula jadi atau kitaran cahaya siang dan malam.

“Keseronokan atau tekanan secara tiba-tiba akibat muzik yang kuat boleh mengganggu jam biologi mereka,”

Isu tersebut kemudiannya selesai selepas campur tangan pihak polis di mana penganjur bersetuju untuk menyelesaikan isu tersebut dan Parida dalam masa sama turut menarik kembali laporan.

“Kami tidak mengambil tindakan lanjut selepas penternak menarik kembali laporan” kata pegawai polis Droupadi Das.

Kredit Foto: TV9Hindi

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.