fbpx
Now Reading
Hajat Ziarah Jenazah Ibu Tak Kesampaian, Pengantin Baru Meninggal Dunia Bersama Kandungan Sulung

Hajat Ziarah Jenazah Ibu Tak Kesampaian, Pengantin Baru Meninggal Dunia Bersama Kandungan Sulung

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Benarlah kata pepatah ajal dan maut itu semuanya berada di tangan Tuhan.

Itu yang berlaku kepada seorang wanita apabila hajatnya untuk menziarahi ibunya yang meninggal dunia di kampung halaman tidak kesampaian apabila maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 74 Jalan Air Sejuk, Setiu semalam.

Baru sahaja bernikah pada bulan Oktober

Lebih menyedihkan, apabila mangsa, Nadia Fizatul Hanim Zamani yang baru sahaja bernikah sebulan lalu meninggal dunia bersama bayi sulung dalam kandungan yang baru berusia dua minggu.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian berlaku ketika arwah dan suaminya yang berusia 23 tahun sedang perjalanan pulang dari Johor ke Machang, Kelantan dengan menaiki kereta sebuah Perodua Kancil, lapor Harian Metro.

Namun sebaik tiba di lokasi suami mangsa Muhamad Nazirul Rameli, 23 yang memandu kereta tersebut hilang kawalan dan terbabas masuk ke bahu jalan kiri.

“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar daripada kereta dan mengalami kecederaan parah.

“Anggota perubatan yang sampai untuk bantuan kecemasan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu (suami) dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan balik menziarahi jenazah ibu mangsa yang meninggal dunia semalam,”

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin

Baru tahu mengandung dua minggu

Menerusi laporan Sinar Harian, arwah Nadia Fizatul baru sahaja mengetahui yang dia sedang mengandung.

“Arwah mendirikan rumah tangga dengan suami, Muhamad Nazirul Rameli pada bulan lalu dan baru juga mengetahui dia mengandung dua minggu.

“Pulang nak ziarah jenazah ibu yang meninggal tetapi dia pula menyusul. Allah menyayangi mereka berdua,” kata ibu saudara mangsa, Salmie Arshad.

Difahamkan Arwah Nadia dan arwah ibunya Nurul Ainun Yacob selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ajil, petang semalam.

Meninjau ke sebuah akaun Facebook dipercayai milik arwah, rata-rata kenalan dilihat meluahkan rasa sedih di atas kehilangan kedua-dua mereka selain anak yang di dalam kandungannya.

Ramai yang turut mengambil kesempatan mengucapkan salam takziah kepada suami arwah dan keluarganya.


© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.