fbpx
Now Reading
Penyelidik Di Singapura Hasilkan ‘Lipas Cyborg’, Mungkin Dapat Digunakan Untuk Misi Menyelamat

Penyelidik Di Singapura Hasilkan ‘Lipas Cyborg’, Mungkin Dapat Digunakan Untuk Misi Menyelamat

Percaya atau tidak, lipas jenis ini juga mampu meneruskan hidup selama seminggu walaupun sudah kehilangan kepala.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebut sahaja perkataan lipas, sudah cukup membuatkan kita rasa geli geleman. Baik wanita mahupun lelaki, tiada manusia yang sukakan serangga perosak berkaki empat ini.

Namun siapa menyangka, sekumpulan penyelidik di Nanyang Technological University (NTU), Singapura sudah cuba mengubah serangga yang begitu dibenci itu untuk menjadi penyelamat manusia.

Penyelamat macam mana?

Difahamkan pakar-pakar kejuruteraan ini menyasarkan untuk menjadikan mereka sebagai sebahagian dari pasukan Mencari & Menyelamat (SAR) khususnya untuk bencana seperti gempa bumi, runtuhan, kebocoran gas dan lain-lain lagi.

Dengan saiznya yang kecil, tidak mustahil lipas dapat bergerak dengan lancar di kawasan yang sukar dimasuki manusia biasa.

Sudah berjaya hasilkan ‘lipas cyborg’

Foto : ONG WEE JIN/The Straits Times/

Malah pasukan pengkaji yang diketuai oleh Profesor Madya Hirotaka Sato di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa sudah pun berjaya menjalankan kajian untuk menghasilkan ‘lipas cyborg’ ini.

Bagi kajian ini, mereka telah memilih lipas khusus iaitu dari jenis Madagascar dengan menyertakan peranti kecil ala-ala sebuah ‘beg’ yang dilengkapi pelbagai sensor dan kamera inframerah dengan berat 5.5 gram.

Tahan lasak dan mampu hidup lama

Pemilihan Lipas Madagascar bagi tugasan ini disebabkan saiznya yang lebih besar berbanding lipas biasa. Bukan itu sahaja, ia juga mampu bertahan daripada radiasi sebanyak 10 kali ganda berbanding manusia.

Percaya atau tidak, ia juga mampu meneruskan hidup selama seminggu walaupun sudah kehilangan kepala kerana lipas ini mampu bernafas melalui spirakel di sisi mereka.

Hasil kajian mereka setakat ini turut mendapati lipas Madagascar ini berjaya mengesan malah begitu berkebolehan dalam membezakan antara makhluk bernyawa atau tidak dengan kadar ketepatan setinggi 87 %.

Sekiranya usaha mereka benar-benar berhasil, pasukan menyelamat akan melepaskan sekitar 500 ekor ‘lipas cyborg’ ini untuk kawasan seluas 5km persegi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.