fbpx
Now Reading
Doktor Klinik Swasta Di Melaka Ubah Keputusan Ujian Saringan Hingga Sebabkan Pekerja Kilang Ditidurkan

Doktor Klinik Swasta Di Melaka Ubah Keputusan Ujian Saringan Hingga Sebabkan Pekerja Kilang Ditidurkan

Perbuatan itu mula terbongkar apabila seorang pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka selepas kesihatannya merosot.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui petugas barisan hadapan khususnya pasukan perubatan adalah pasukan yang paling banyak berkorban dalam menangani penularan pandemik maut yang masih lagi menghantui seluruh dunia sejak tahun lalu.

Namun tindakan tidak bertanggungjawab seorang doktor di sebuah klinik swasta di Melaka telah mencemarkan reputasi dan imej pasukan perubatan apabila dikesan memalsukan keputusan ujian pantas antigen (RTK Ag) COVID-19 pesakitnya, daripada positif kepada negatif.

Lebih memburukkan keadaan apabila kesihatan seorang dari pesakitnya kemudian mula merosot hingga menyebabkan dia terpaksa ditidurkan.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka difahamkan akan membuat laporan polis selepas pihaknya memperoleh bukti untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342.

Menurut Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh, setakat ini pihaknya telah menerima enam aduan berhubung salah laku tersebut dan akan meneruskan siasatan lanjut bagi memastikan kes sama tidak lagi berulang.

“Kita telah menerima beberapa aduan melibatkan sebuah klinik swasta yang telah memalsukan keputusan RTK daripada positif kepada negatif.

“Walaupun kes ini terpencil dan hanya melibatkan lima atau enam aduan, namun ia satu kes yang amat serius dan kita tidak boleh bertolak ansur kerana ia melibatkan keselamatan pesakit dan masyarakat,” katanya dipetik dari portal Melaka Hari Ini.

Menerusi laporan Awani pula, perbuatan itu mula terbongkar apabila seorang pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di Hospital Melaka mengakui ujian saringan awal yang dilakukannya di klinik swasta di kawasan Ayer Keroh itu, didapati positif.

Keputusan itu bagaimanapun telah diubah oleh doktor yang bertugas selepas menerima habuan tertentu kerana pesakit difahamkan enggan menjalani kuarantin.

Namun tindakan tersebut menyebabkan dia tidak mendapat rawatan peringkat awal hingga keadaannya semakin merosot.

“Selain itu, kita juga mengesan beberapa laporan mencurigakan menerusi sistem SIMKA iaitu sistem yang digunakan klinik swasta untuk melaporkan keputusan ujian kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jadi, dalam sistem itu kita ada mengesan beberapa keputusan yang ditukarkan daripada positif kepada negatif jadi ia sesuatu yang pelik dan kita akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Muhamad Akmal dalam masa sama turut meminta semua petugas dan doktor klinik swasta agar terus mengamalkan integriti selari dengan angkat sumpah yang telah dilakukan petugas kesihatan.

“Saya percaya kredibiliti doktor swasta di Melaka, tetapi apabila melibatkan salah laku integriti atau ketidakjujuran saya mohon agar elakkanlah demi keselamatan semua,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.