fbpx
Now Reading
Sukarelawan YOSH MyFundAction Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

Sukarelawan YOSH MyFundAction Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

184 sukarelawan YOSH MyFundAction ini terdiri daripada mahasiswa pelbagai universiti antaranya UPM, UIA, UKM, INTEC selain mendapat kerjasama daripada NGO MyFundAction.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Usaha sekumpulan sukarelawan belia yang turun pandang membantu mangsa banjir di Program YOSH Cuci mendapat pujian Penolong Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Selangor, Y.M Tengku Dato’ Dr. Hishamuddin Zaizi Ibni Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Al-Haj.

Beliau yang secara tidak sengaja bertemu hampir 200 sukarelawan tersebut menzahirkan rasa penghargaan dan sokongan di atas tindakan murni mereka menyantuni mereka yang terkesan.

Tengku Dato’ Dr. Hishamuddin turut berharap agar lebih ramai pemuda mencontohi usaha baik ini dalam mendidik jiwa kesukarelawanan dalam diri para belia.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada para pemuda yang sudi berganding bahu membantu mereka yang terlibat dalam banjir. Ini merupakan salah satu cara untuk belia berbakti kepada masyarakat”, kata beliau.


Sesi bergambar bersama Penolong Pesuruhjaya, Angkatan Pertahanan Awam Selangor, Y.M Tengku Dato’ Dr. Hishamuddin Zaizi Ibni Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Al-Haj dan sukarelawan YOSH yang terdiri daripada pelbagai institusi pengajian, semalam.

Program YOSH Cuci merupakan salah satu program yang dianjurkan oleh oleh Youth of Strength and Happiness (YOSH) yang berlangsung selama dua hari satu malam pada 25 dan 26 Disember lalu dia di Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Selangor.

Suatu pencapaian luar biasa telah dicipta apabila YOSH berjaya mengumpulkan 184 sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai universiti antranya UPM, UIA, UKM, INTEC selain mendapat kerjasama daripada NGO MyFundAction yang turut melibatkan pelbagai pihak berkuasa.

Objektif utama program ini adalah untuk mengerahkan keringat dalam membersihkan kawasan perumahan sekaligus menyantuni kepelbagaian kaum di Malaysia terdiri daripada Melayu, Cina dan India yang terjejas teruk akibat banjir.

Para sukarelawan yang hadir bukan hanya dari Selangor bahkan merangkumi seluruh Malaysia termasuk negeri Kedah, Perak, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan juga Kuala Lumpur. Mereka sanggup menempuh perjalanan yang mengambil masa berjam-jam serta tambang yang tinggi bersama peralatan pembersihan semata-mata untuk menyantuni mangsa banjir yang terjejas di Selangor.

Di sepanjang perjalanan, keadaan jalan yang dipenuhi debu berterbangan ditambah dengan pengudaraan yang kurang baik tidak mematahkan semangat kesukarelawanan yang ditanamkan dalam jiwa untuk berbakti sepenuhnya kepada masyarakat.

Pelbagai kisah yang meruntun jiwa diluahkan oleh mangsa-mangsa banjir seperti keadaan mereka yang terperangkap dalam rumah selama dua hingga tiga hari tanpa makanan kerana tiada bantuan yang dihulurkan kepada mereka.

Bahkan anak-anak kecil menangis kelaparan dan ada juga warga emas yang telah muntah akibat tiada makanan untuk dijadikan alas perut. Selain itu, terdapat golongan tua yang bertarung nyawa apabila mengalami serangan jantung sewaktu banjir.

Salah seorang sukarelawan, Ardinie Dayana, 19, dari UPM yang buat julung kalinya menyertai misi pasca banjir berkata “Kami pertama kali turun padang untuk menolong mangsa banjir. Saya rasa sebak melihat keadaan penduduk di samping dapat pengalaman baru berjumpa dan berbual bersama mereka yang terjejas akibat banjir. Saya mula hargai kehidupan dan bersyukur dengan apa yang saya miliki selama ini.”

Meskipun nasib penduduk yang dilanda air bah ini tidak ubah ibarat sudah jatuh ditimpa tangga namun senyuman yang menghiasi wajah-wajah ceria menyambut para sukarelawan begitu menyentuh hati. Semoga usaha ini dapat membantu lebih ramai mereka yang memerlukan bantuan dan mampu meringankan beban yang dihadapi oleh pihak yang turut terkena tempias akibat kejadian banjir yang tidak disangka-disangka.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.