fbpx
Now Reading
Tiada Lagi Pengeluaran Untuk Tujuan Lain Selain Persaraan, Kata KWSP

Tiada Lagi Pengeluaran Untuk Tujuan Lain Selain Persaraan, Kata KWSP

Menurut KWSP, tiada peruntukan dalam akta KWSP 1991 yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebut sahaja tentang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perkara pertama yang terbit di dalam kepala pada ketika ini pastinya tentang bantuan ‘one-off’ berjumlah RM10,000 yang akan dikeluarkan menerusi akaun mereka.

Namun ia mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu memaklumkan yang kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluarannya meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.

Ianya kerana kerajaan sudah mengumumkan peruntukan dana dan bantuan yang mencukupi untuk golongan yang terjejas selain sedia menambahnya sekiranya ada keperluan.

Terbaharu, KWSP menerusi satu kenyataan mengesahkan mungkin tidak akan ada pengeluaran lagi dalam masa terdekat.

Ini kerana peranan mereka adalah untuk melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan justeru tidak menggalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

Menerusi laporan Awani, KWSP menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra agar dapat membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan demi masa hadapan mereka.

Tiada peruntukan benarkan pengeluaran untuk bencana alam

“KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,” tambahnya.

KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan.

“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” tegas kumpulan wang persaraan itu.

Simpanan 6.1 juta ahli adalah kurang dari RM10K

Menurut KWSP lagi, meskipun beberapa skim pengeluaran yang diberikan kerajaan seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan PKP, ia bagaimanapun telah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli.

Mereka dalam masa sama berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan utama di negara seperti MTUC dan CEUPACS yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

Sehubungan itu KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) akan menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

“KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti.

Foto : Malaymail | Hari Anggara

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.