Siapa sangka gara-gara terlepas penerbangan, seorang wanita di Arizona, Amerika Syarikat (AS) nekad menceroboh ke landasan kapal terbang di sana untuk menghalang pesawatnya dari berlepas pergi.
Tindakan berani matinya itu menyebabkan Vickie Meyers dari St. Louis, Missouri akhirnya ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Harbour di Phoenix, Arizona.
Menerusi laporan Daily Mail, Vickie difahamkan terlepas panggilan masuk yang terakhir kerana menghabiskan terlalu banyak masa di bar sehingga terleka untuk melihat papan maklumat penerbangan.
Namun sebaik menyedari yang dia terlewat, dia menjadi panik dan terus berlari ke pintu pelepasan.
Disebabkan gagal berfikir secara waras kerana dibawah pengaruh alkohol, Vickie bertindak keluar menggunakan pintu kecemasan yang akhirnya membawa wanita ini ke landasan.
Saksi yang terdiri dari kalangan penumpang kemudian ternampak dia berlari ke hadapan pesawat sebagai cubaan untuk menarik perhatiannya.
Insiden selepas kejadian turut tular di media sosial memperlihatkan Vickie sedang diiringi oleh anggota polis lapangan terbang bagi memastikan dia kembali memasuki bangunan terminal.
Dia kemudian ditahan anggota polis hingga dibawa ke penjara daerah Maricopa dan didakwa atas kesalahan menceroboh.