fbpx
Now Reading
Polis Sahkan Pemandu Lori Rempuh 3 Kereta Bukan Mabuk Tapi Terkena Serangan Jantung

Polis Sahkan Pemandu Lori Rempuh 3 Kereta Bukan Mabuk Tapi Terkena Serangan Jantung

Arwah dipercayai sakit dada sebelum melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan di sekitar kawasan kejadian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Polis hari ini mengesahkan pemandu lori yang kononnya di bawah pengaruh alkohol hingga terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain sebenarnya tidak mabuk sebaliknya terkena serangan jantung.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Shafa’aton Abu Bakar, kenyataan ini dikeluarkan bagi menjelaskan satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki terbabit kemalangan membabitkan sebuah lori dengan tiga kenderaan.

“Kita mengesan satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki terbabit kemalangan membabitkan sebuah lori dengan tiga kenderaan.

“Pemandu lori tersebut dipercayai sakit dada menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan di lokasi sekitar pukul 10.45 pagi.”

Namun menurut Shaafaton, pemandu lori yang dikenali sebagai Ahmad Sukri Abd Samad berusia 49 kemudiannya disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di hospital.

“Pada 3 Januari 2021 jam 12:09 tengahari, pemandu lori tersebut telah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. Punca kematian adalah “Myocardial Infacrtion”.

Tambah Shafaaton, siasatan lanjutan masih lagi dijalankan dan kes disiasat di bawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi menghormati waris mangsa.

Terdahulu penularan video yang berasal dari TikTok ini mencetuskan kemarahan orang ramai apabila kenalan mangsa memaklumkan pemandu berkenaan sudah meninggal dunia dan beliau sebenarnya terkena serangan jantung.

Orang ramai kemudian meminta si perakam yang menuduhnya mabuk untuk tampil dan membuat permohonan maaf kepada keluarganya.

Malah ada individu yang tampil mahu membantu keluarga arwah untuk mendapatkan bantuan guaman bagi menyaman si perakam video tersebut.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.