fbpx

20 Tahun Jadi Buruan, Anggota Mafia Itali Akhirnya Berjaya Ditangkap Dengan Bantuan Google Maps

Seorang detektif difahamkan terlihat kelibat seseorang yang menyerupai Gammino ketika menggunakan Google Street View.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semua orang pasti bersetuju kalau kami katakan aplikasi Google Maps merupakan salah satu perkhidmatan pemetaan yang paling penting pada masa kini.

Bukan sahaja memudahkan anda melakukan carian sesuatu lokasi, malah ia turut dilengkapi pelbagai lagi ciri menarik antaranya fungsi navigasi dan paparan panorama lokasi menerusi Google Street View.

Namun siapa sangka aplikasi ini turut berjaya membantu pihak berkuasa memberkas penjenayah paling dikehendaki yang sudah menyembunyikan diri selama 20 tahun.

Menurut CNN, hanya dengan menggunakan Google Maps, seorang pegawai polis Itali akhirnya berjaya mengesan kelibat anggota mafia tersebut, Gioacchino Gammino di Madrid, Sepanyol.

Difahamkan Gioacchino Gammino bukanlah seorang anggota mafia biasa, sebaliknya dia merupakan seorang mafia berpengaruh di Sicily, Itali yang telah disabitkan dengan pembunuhan namun berjaya melarikan diri dari Penjara Rebibbia di Rom pada tahun 2002.

Sejak dari itu dia gagal dikesan, dan polis Itali menjangkakan dia sudah berjaya menyelinap ke negara jiran iaitu Sepanyol.

Nampak Gammino depan sebuah kedai runcit

Telahan mereka terbukti tepat apabila seorang detektif akhirnya terlihat kelibat seseorang yang menyerupai Gammino di sebuah kedai runcit di bandar Galapar sewaktu sedang menggunakan Google Street View.

Mereka kemudian melakukan risikan untuk mengenal pasti individu tersebut. Usaha mereka akhirnya berhasil apabila siasatan menunjukkan lelaki tersebut sememangnya Gamminio yang sekian lama menghilangkan diri.

Kesan tanda parut pada dagu

Ianya disahkan apabila pasukan penyiasat berjaya mengesan tanda parut yang terdapat pada dagu kiri lelaki berkenaan.

Menurut The Guardian, Gammino telah menukar identitinya dengan menggunakan nama ‘Manuel’ dan meneruskan kehidupan dengan bekerja sebagai chef.

Malah bagi mengelakkan dirinya tertangkap, dia yang sudah berkahwin di sana dilaporkan tidak pernah menghubungi keluarganya yang masih berada di Itali sejak 10 tahun lalu.

Gammino akhirnya ditangkap pada 17 Disember lalu, namun berita penangkapannya hanya mula disiarkan media di Eropah sejak Rabu, 5 Januari.

Dia kini ditahan di Sepanyol dan pasukan penyiasat berharap dia dapat dihantar pulang ke Itali secepat mungkin.

Baca artikel berkaitan :

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.