fbpx
Now Reading
Risau Tiada Bonus Tahunan, Suami Isteri Penjawat Awam Sanggup Beli Sijil Vaksin Palsu

Risau Tiada Bonus Tahunan, Suami Isteri Penjawat Awam Sanggup Beli Sijil Vaksin Palsu

Difahamkan pasangan ini pernah membuat laporan polis pada tahun lalu kerana enggan divaksin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sekitar isnin lalu, kita digemparkan dengan kejayaan polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu di Marang.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang turut berjaya menahan seorang doktor swasta di sana.

Sehubungan itu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan sedang mengesan individu-individu yang mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 dari doktor dan kliniknya.

Baca artikel berkaitan : Dipercayai Jual 1,900 Sijil Vaksin Palsu, Doktor Di Marang Dicekup Polis

Terbaharu, sepasang suami isteri yang merupakan penjawat awam di sebuah jabatan yang sama di Melaka dicekup apabila kantoi menggunakan sijil vaksin palsu.

Menerusi laporan Awani, pasangan ini dipercayai membeli dan menggunakan sijil vaksin palsu tersebut untuk menerima bayaran bonus tahunan.

Selain itu mereka juga mahu mengelak dari dikenakan tindakan tatatertib.

Kegiatan terbongkar selepas jabatan curiga dengan MySejahtera mereka

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu perbuatan pasangan berusia 33 dan 38 tahun ini dapat dihidu selepas mereka mengemukakan sijil vaksin tersebut kepada ketua jabatannya sebagai syarat untuk menerima bonus tahunan.

Namun pihak jabatan berasa curiga dengan aplikasi ‘Mysejahtera’ yang dikemukakan lalu membuat semakan di sebuah klinik kesihatan.

“Kegiatan pasangan ini menggunakan sijil vaksinasi palsu mula terbongkar selepas pihak jabatan curiga dengan aplikasi ‘Mysejahtera’ berstatus vaksin lengkap dua dos yang dimiliki mereka sebelum membuat semakan di Klinik Kesihatan Rembia.

“Hasil semakan klinik berkenaan kemudian mendapati kedua-dua mereka tidak pernah menerima apa-apa vaksin sebelum laporan polis dibuat kerana mereka telah menipu pihak jabatan,” kata Arshad.

Mereka kemudian mereka mengakui membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu pada harga RM500 setiap satu melalui orang tengah yang merupakan penjawat awam di jabatan sama.

Mereka berdua bersama orang tengah berkenaan kemudian ditahan pada Selasa lalu dan telefon bimbit mereka juga telah dirampas.

Polis dalam masa sama turut memburu seorang lagi suspek yang dipercayai penjual sijil vaksinasi itu.

“Hasil soal siasat, orang tengah berkenaan mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu itu daripada seorang suspek yang masih bebas dikenali sebagai `Vnilai’.

“Polis masih memburu suspek keempat (Vnilai) dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan,” katanya.

Pernah tampil buat laporan polis kerana enggan divaksin

Difahamkan pasangan ini yang merupakan kumpulan anti vaksin sebelum ini pernah tampil membuat laporan polis pada tahun lalu berhubung keengganan mereka menerima suntikan vaksin berkenaan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.