Isu Harga RFID: “Jika Tak Mahu Beri Percuma, Turunkan Harga Ke RM5” – Najib
Beliau turut mendedahkan kos untuk membuat RFID tidak mencecah RM1 bagi seunit teknologi tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak beberapa hari lalu, pelekat teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan di media sosial.
Selain menyebabkan kesesakan di beberapa tol PLUS antaranya di tol Sungai Besi dan Bandar Seri Putera Bangi sewaktu hari pertama pelaksanaan penggunaan tag RFID sebagai cara pembayaran tol, ada juga pengguna yang mendakwa sistem RFID gagal mengesan pelekat yang ditampal pada kenderaan mereka.
Keadaan ini memaksa beberapa pengguna yang baru sahaja menampal pelekat tersebut untuk membuat pembelian yang baharu memandangkan pelekat ini akan terkoyak dengan sendirinya jika ditanggalkan.
Namun apa yang lebih dirungutkan adalah kerana harga pelekat tersebut yang disifatkan agak mahal iaitu RM35.
Isu harga RM35 yang disifatkan mahal ini bukan sahaja dipersetujui oleh orang ramai, malah turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib menerusi satu hantaran di Facebook turut mempersoalkan harga pek permulaan itu sedangkan menurutnya, kos pelekat RFID pasif biasanya dijual bawah RM1 sekeping.
“Kos sticker RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping. Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?” kata Najib
Dia dalam masa sama turut bertanya adakah adakah syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID.
Patut turunkan harga ke RM5
Ahli Parlimen Pekan itu menerusi satu lagi hantaran kemudiannya turut mencadangkan agar harga harga pelekat itu diturunkan kepada RM5 jika syarikat Touch N’ Go tidak mahu memberikannya secara percuma.
“Syarikat Touch N Go sudah bernilai RM3 bilion di mana Bank CIMB telah memperolehi keuntungan tambahan sebanyak RM1.16 bilion pada tahun lepas akibat kenaikan nilai syarikat Touch N Go. Jadi, sebab apa masih mahu jual sticker RFID yang kosnya kurang dari seringgit pada harga RM35 sekeping?Jika tidak mahu beri percuma lagi, turunkanlah harganya ke RM5.”
Najib Razak
Boleh rujuk pada laman PLUS
Dalam pada itu, PLUS menerusi satu kenyataan pada Selasa turut memaklumkan sudah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.
Mereka turut memberi keyakinan kepada pengguna yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID agar tidak risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.
“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan,” katanya.
Namun sekiranya tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma.