fbpx
Now Reading
Isu RFID : “Pengguna Perlu Diberi Pilihan Memilih” – PM

Isu RFID : “Pengguna Perlu Diberi Pilihan Memilih” – PM

Tegas beliau, pengguna berhak diberi pilihan sama ada mahu menggunakan RFID atau Touch ‘n Go mahupun Smartag.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Selepas beberapa hari hangat mengenai isu sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan pengguna jalan raya perlu diberi kebebasan memilih sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Menurut Ismail, mesyuarat Kabinet pada Rabu, 19 Januari sudah pun pun membincangkan isu tersebut dan sepakat dengan ketetapan agar rakyat mesti diberikan pilihan.

Mengambil contoh perkhidmatan Touch ‘n Go yang diperkenalkan sebelum ini, Perdana Menteri berkata ia tidak dilaksanakan secara terus sebaliknya berbentuk pilihan kepada rakyat.

“Cuma kita kata cadangan bagus tetapi dari segi pengguna mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID atau nak guna Touch ‘n Go atau SmartTAG.

“Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong RFID, selebihnya lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG.

“Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID nak mudahkan jalan, mereka boleh tukar,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Tambah beliau lagi, pihaknya dimaklumkan pelaksanaan RFID ini adalah sebagai ‘pilot projek’. Selain itu, kabinet juga memutuskan bahawa sebarang keputusan membabitkan bayaran yang perlu dibayar rakyat, pihak tertentu perlu merujuk kabinet terlebih dulu.

“Kalau ‘pilot projek’, beberapa bulan selepas itu barulah kita serahkan kepada pengguna membuat pilihan akhir.

“Kalau mereka merasakan RFID memudahkan perjalanan mereka, mereka boleh migrate (berpindah) kepada RFID.

“Kita minta Menteri KKR (Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk memanggil pemegang konsesi ini untuk berbincang.

“Kita juga buat keputusan untuk akan datang ini kalau ada membabitkan bayaran kepada rakyat, rujuk kepada kabinet dulu,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengarahkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) untuk mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan RFID.

PLUS kemudian memaklumkan sudah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Mereka turut memberi keyakinan kepada pengguna yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID agar tidak risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan,” katanya.

Namun sekiranya tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.