fbpx
Now Reading
Buat ‘TT’ Di Lorong Kecemasan, Polis Panggil Ahli FCCM-FC Club Beri Keterangan

Buat ‘TT’ Di Lorong Kecemasan, Polis Panggil Ahli FCCM-FC Club Beri Keterangan

Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah adalah satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam,  sebuah kelab pemilik kereta Honda Civic FC yang dikenali sebagai FCCM-FC menjadi perbualan hangat netizen selepas pengendali laman Facebook mereka telah memuat naik beberapa foto menunjukkan ahli kelab sedang berhenti di sebuah kawasan tular di Negeri Sembilan.

Menerusi foto tersebut, terlihat deretan kenderaan mereka dilihat santai berhenti di laluan kecemasan Lebuh raya Temiang-Pantai yang terkenal dengan keindahan pemandangan sepanjang laluannya difahamkan sebagai salah satu lokasi sesi teh tarik (TT) mereka.

Namun tindakan mereka meletakkan kenderaan di laluan kecemasan kedua-dua arah nyata mengundang kecaman orang ramai kerana disifatkan berbahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan.

Ekoran itu ramai yang mula ‘menyerang’ hantaran tersebut sehingga menyebabkan pengendali akaun kelab berkenaan terpaksa menutup ruangan komen mereka.

Terbaharu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman memaklumkan polis akan memanggil ahli kelab kereta tersebut selepas gambar mereka berkumpul di sana tular di media sosial.

“Kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita sudah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu adalah satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Boleh didenda RM2k dan penjara 6 bulan

Jelas Mohd Fazley, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak berbuat tindakan sedemikian kerana ianya boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Akan berbincang dengan PBT dan JKR

Dalam pada itu beliau memaklumkan pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

“Lebuh raya Temiang-Pantai adalah lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.