fbpx
Now Reading
Skor Indeks Persepsi Rasuah Terus Jatuh, Malaysia Kini Di Tangga Ke 62 Dunia

Skor Indeks Persepsi Rasuah Terus Jatuh, Malaysia Kini Di Tangga Ke 62 Dunia

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan akan mengkaji hasil penemuan TI-M berhubung skor CPI 2021 ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika anda ingat, pada Januari tahun lalu Transparency International Malaysia (TI-M) telah mengumumkan laporan kajian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di mana skor Malaysia telah menunjukkan penurunan dari 53% (2019) kepada 51% untuk tahun 2020 sekaligus berada di tempat ke-57 dari 180 negara.

Terbaharu, keputusan CPI 2021 negara kita terus merosot apabila Malaysia hanya mencatatkan skor 48% menjadikan buat pertama kalinya sejak 2012, negara kini dikelompokkan dalam dua pertiga negara dengan skor di bawah 50.

Ini menjadikan kedudukan Malaysia jatuh berapa lagi anak tangga iaitu dari tangga 57 pada 2020 ke tangga 62.

Untuk pengetahuan anda, skala skor 0 adalah untuk negara yang paling korup, manakala 100 pula adalah yang bersih dari rasuah. Jadi selamat untuk kami katakan bahawa skor di bawah 50 bukanlah keputusan yang memberangsangkan.

Apa kata TI-M ?

Presiden Ti-M, Muhammad Mohan sewaktu pembentangan laporan CPI 2021 berkata, kemerosostan ini adalah yang kedua kali berturut-turut dan ia bukan satu petanda yang baik kerana skor Malaysia telah berkurangan sebanyak 5% dalam tempoh tiga tahun.

“Skor Malaysia adalah 48 pada 2021. Kalau dilihat pada Barometer CPI, kita bergerak ke arah markah yang lebih rendah dan itu adalah tidak bagus.

“Sepatutnya kita bergerak ke arah lain (markah lebih tinggi). Anda boleh lihat dari 2021 (2021 hingga 2019), skor kita berkurang lima dalam masa tiga tahun.

“Mungkin ada yang kata, baru lima sahaja tapi kurang lima skor sebegitu adalah sangat serius, sangat membimbangkan bila kurang sebegitu. Ini adalah satu perkara yang kita perlu lihat dengan lebih serius,” katanya.

Kedudukan di Asia Tenggara

Untuk kedudukan di Asia Tenggara, Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Singapura dan Brunei, manakala kedudukan keempat dan kelima milik Indonesia dan juga Thailand.

Namun skor Singapura sememangnya jauh kehadapan berbanding semua negara Asia Tenggara apabila kekal sebagai 10 kelompok terbaik di dunia iaitu di tangga ke 4 secara keseluruhan.

SPRM akan kaji hasil penemuan

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan memaklumkan akan mengkaji hasil penemuan TI-M berhubung skor CPI 2021 ini.

Jelas SPRM, mereka memberi perhatian serius berhubung skor berkenaan yang menunjukkan kemerosoton berturut-turut sejak 2 tahun lalu.

“SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan jalinan kerjasama dan sehaluan di samping mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini.

“Ini kerana Suruhanjaya ini tertakluk kepada bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa,” kata kenyataan tersebut.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.