Touch ‘n Go Bakal Lancar Kad Baharu, Benarkan Pengguna Tambah Nilai Guna TnG eWallet
Difahamkan TnG akan melancarkan kad dengan teknologi Near Field Communication (NFC) ini dalam beberapa minggu lagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penggunaan kad Touch ‘n Go sememangnya memudahkan urusan harian kita.
Ia bukan sahaja menjadi pilihan utama ramai rakyat Malaysia dalam urusan membayar tol di jalan raya malah turut digunakan sebagai Common Ticketing System (CTS) bagi pengangkutan awam utama di Lembah Kelang.
Namun satu kelemahan Touch ‘n Go walaupun sudah memiliki aplikasi mudah alih TnG eWallet sejak 2018 ialah kad ini masih tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan urusan tambah nilai dengan mudah termasuk secara online atas faktor keselamatan.
Ini kerana Touch ‘n Go memerlukan pembaca kad khusus (Cip MiFare) untuk melakukan transaksi atas sebab keselamatan.
Bakal hadir dengan kad baharu dengan teknologi NFC
Namun semua itu bakal diselesaikan tidak lama lagi apabila pengeluar Touch ‘N Go memaklumkan bakal melancarkan satu kad versi baharu dengan teknologi Near Field Communication (NFC) kepada pengguna dalam masa terdekat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNG Digital Sdn Bhd Ignatius Ong, dengan ini pengguna yang beralih kepada kad baharu itu akan dapat menambah baki nilai secara terus menggunakan aplikasi TnG eWallet.
Kad Touch ‘n Go kami yang sudah dalam edaran sejak 20 tahun lepas tidak mempunyai keupayaan untuk menambah nilai terus kad anda daripada eWallet kerana anda memerlukan pembaca kad khusus untuk benar-benar melakukan transaksi atas sebab-sebab keselamatan,” kata Ong dipetik dari Malaymail.
Namun setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kad berkenaan sama ada ianya akan akan diberikan secara percuma kepada pengguna atau perlu dibeli untuk penggantian.
Malah tiada info jelas sama ada penggantian itu akan membolehkan pengguna memindahkan baki sedia ada di dalam kad lama ke kad yang baharu.
Pihak Touch ‘n Go bagaimanapun menerusi satu ciapan balas media sosial berjanji akan memberikan sebarang info terkini mengenai kad tersebut di laman sesawang mereka.