fbpx
Now Reading
Kerajaan Cadang Haramkan Penjualan Rokok Bagi Mereka Yang Lahir Selepas 2005

Kerajaan Cadang Haramkan Penjualan Rokok Bagi Mereka Yang Lahir Selepas 2005

KJ berharap undang-undang tersebut akan dapat diluluskan tahun ini sekaligus membawa kepada ‘generasi penamat perbuatan merokok’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setuju atau tidak, ketagihan merokok merupakan salah satu ancaman utama kepada kesihatan awam sedunia.

Bahkan jika anda bertanya kepada perokok, mereka pastinya akan menasihatkan orang lain untuk tidak mencuba atau mula merokok kerana tahu apa kesannya pada diri dan betapa sukarnya untuk berhenti.

Banyak kerajaan dan badan kesihatan sudah lama memerangi tabiat merokok ini dan cuba membasminya kerana memberi impak negatif terhadap kos kesihatan dan ekonomi awam antaranya New Zealand yang merancang mengharamkan penggunaan rokok untuk generasi muda.

Terbaharu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) memberi bayangan bahawa kerajaan akan mengambil langkah sama untuk mengharamkan penggunaan produk tembakau terhadap generasi akan datang dengan melarang penjualan rokok dan produk berkaitan kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005.

Bercakap pada sesi pertemuan ke-150 Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva semalam, KJ berharap undang-undang tersebut akan dapat diluluskan tahun ini sekaligus membawa kepada ‘generasi penamat perbuatan merokok’.

“Ini adalah dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang lahir selepas 2005.

“Malaysia merasakan ia akan memberi impak yang besar dalam mencegah dan mengawal NCD (penyakit tidak berjangkit),” katanya.

Jika undang-undang ini diluluskan pada tahun ini, bermakna semua mereka yang berumur 17 dan ke bawah pada tahun ini tidak lagi dibenarkan untuk membeli rokok secara sah di masa akan datang apabila mereka mencapai umur tertentu untuk merokok.

Dalam masa sama, sewaktu perutusan Tahun Baharu 2022 kepada Kementerian Kesihatan, KJ turut bercakap mengenai ‘generasi penamat perbuatan merokok’ ini di mana beliau melihat akan tiba masanya generasi akan datang tidak lagi tahu ‘apa itu rokok’.

Sebagai info, produk tembakau dilindungi di bawah Akta Makanan 1983 dan KJ menjelaskan, undang-undang baharu itu akan mengawal selia e-rokok dan produk vape dan akhirnya membawa kepada tabiat berhenti merokok.

 

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.