fbpx
Now Reading
Isu ‘Merpati Pelangi’, Jabatan Veterinar Akan Turun Beri Nasihat Pada Peniaga

Isu ‘Merpati Pelangi’, Jabatan Veterinar Akan Turun Beri Nasihat Pada Peniaga

Menurut JPVNK, isu ini boleh dikaitkan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) iaitu pemilik perlu bertanggungjawab ke atas keperluan kebajikan haiwan masing-masing.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari lalu, media sosial hangat memperkatakan mengenai tindakan seorang peniaga burung merpati di Tumpat, Kelantan yang mewarnakan burung peliharaannya dengan penyembur cat.

Menggelarkan burung-burung berkenaan dengan panggilan ‘Merpati Pelangi’, inisiatif yang diambil pengusaha ini mula menarik perhatian orang ramai sekaligus meningkatkan jumlah jualan burung berkenaan di kedainya.

Namun perbuatan lelaki ini kurang digemari netizen khususnya pencinta haiwan. Malah isu ini turut menarik perhatian pakar veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah yang tampil meluahkan kekecewaanya di media sosial.

Jelas Dr. Salehatul Khuzaimah atau lebih mesra dengan panggilan Dr Ima, tindakan mewarnakan unggas berkenaan hanya akan membahayakannya.

Baca artikel berkaitan : “Tak Patut Berlaku!” – Disembur Dengan Cat, Ramai Kecewa Dengan Trend ‘Merpati Pelangi’

Terbaharu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) memaklumkan pihaknya akan turun ke lapangan dalam masa terdekat untuk memberi khidmat nasihat kepada peniaga berkenaan.

Menurut Timbalan Pengarah JPVNK Dr Syarifah Asiah Mohd Amin, JPVNK bagaimanapun akan menyelidik terlebih dahulu isu mewarnakan burung terbabit yang mungkin memberi kesan kepada kebajikannya.

“Perkara ini boleh dikaitkan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) iaitu pemilik perlu bertanggungjawab ke atas keperluan kebajikan haiwan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita akan turun ke lapangan untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat dan memberi konsultasi mengenai Akta Kebajikan Haiwan,” katanya dipetik dari Bernama.

Menerusi laporan Speed Media Gallery, pengusaha ini turut mendakwa warna ini tidak membahayakan kerana ianya bukan warna kekal.

Namun tidak lama kemudiannya, pengeluar sebuah cat semburan iaitu Samurai Paint menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan pihaknya sama sekali menyokong atau membenarkan produk-produk merek digunakan ke atas haiwan-haiwan, tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Pihak Samurai juga tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa yang terjadi disebabkan penyalahgunaan yang melibatkan produk kami, terutamanya jika digunakan keatas haiwan-haiwan.

“Pihak Samurai memohon agar pengguna-pengguna mengambil tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga kebajikan haiwan-haiwan ini bersama-sama,” tulis kenyataan itu lagi,

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.