fbpx
Now Reading
Batal Permit Institut Memandu Hanya Pandangan KP JPJ, Bukan Polisi MOT

Batal Permit Institut Memandu Hanya Pandangan KP JPJ, Bukan Polisi MOT

Menurut Ka Siong, kenyataan yang dikeluarkan Zailani Hashim tempoh hari dalah pandangan peribadi ketua pengarah itu sendiri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini media ada melaporkan yang Institut Memandu (IM) kini boleh dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya mereka didapati banyak melahirkan pemandu yang terbabit dalam kemalangan serta tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Antara tindakan yang boleh diambil adalah seperti menggantung atau menarik balik sijil serta permit mengajar mereka.

Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, semua pihak berkaitan akan dilibatkan dalam sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan bagi kajian terperinci yang  dilaksanakan kementerian itu.

Laporan tersebut bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang di kalangan netizen yang menyifatkan ia adalah satu langkah yang kurang bijak sehingga ada yang mengecam cadangan berkenaan.

Ini kerana menurut mereka, institut memandu dan tenaga pengajar tidak sepatutnya dipersalahkan memandangkan fungsi mereka hanyalah mengajar, sebaliknya calon diuji dan diluluskan oleh penguatkuasa JPJ sendiri.

Baca artikel berkaitan : Institut Memandu Bakal Didenda, Gantung Permit Jika Lahirkan Banyak Pemandu Cuai – JPJ

Bukan dasar polisi JPJ

Terbaharu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tampil menerusi satu kenyataan menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Menurut Ka Siong, kenyataan yang dikeluarkan Zailani Hashim tempoh hari adalah pandangan peribadi ketua pengarah itu sendiri dan bukanlah bukanlah satu ketetapan dasar atau polisi Kementerian Pengangkutan (MOT).

Beliau yang tampil menerusi satu kenyataan turut menegaskan sebarang cadangan atau penambahbaikan akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu.

“MOT ingin menegaskan bahawa tindakan untuk membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya hanyalah merupakan satu pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bukan merupakan satu ketetapan dasar oleh MOT pada masa ini.

“Dimaklumkan juga bahawa sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaannya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan,” kata Ka Siong.

Tambah beliau lagi, MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya mempersalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan yang pihaknya dan agensi-agensi di bawah MOT akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan dan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.