fbpx
Now Reading
Digelar Sebagai Air Mineral ‘Kayangan’, Kenapa Air Evian Mahal?

Digelar Sebagai Air Mineral ‘Kayangan’, Kenapa Air Evian Mahal?

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari lalu media sosial hangat memperkatakan mengenai air mineral berjenama Evian.

Semuanya gara-gara satu perkongsian video yang dimuat naik akaun Twitter Pejabat Perdana Menteri (PMO) memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sedang bermesyuarat bersama beberapa anggota Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara berhubung harga penurunan ayam.

Menerusi video tersebut, jelas kelihatan mereka yang menghadiri mesyuarat berkenaan dihidangkan makanan dan minuman.

Namun apa yang menjadi tumpuan orang ramai pastinya hidangan air mineral Evian 500ml yang agak dikenali dek kerana harganya yang sedikit mahal berbanding air mineral biasa iaitu sekitar RM4.50.

Namun topik kali ini bukanlah mengenai mesyuarat berkenaan atau kenapa mereka memilih untuk menggunakan air Evian.

Sebaliknya kami ingin berkongsi kenapa jenama air yang digelar ‘air kayangan’ ini dijual pada harga yang sedikit tinggi dan mahal berbanding air mineral lainnya.

Bukan air tempatan sebaliknya diambil khas dari pergunungan Perancis

Secara ringkasnya, punca air Evian bukanlah dari mana-mana lokasi di Malaysia sebaliknya ia hanya boleh didapati di wilayah tenggara Perancis yang dikenali sebagai Rhone-Alpes.

Jika dimudahkan, air ini adalah air yang diimport 100% dan tiada pengeluaran tempatan di mana sahaja di seluruh dunia – kecuali di Perancis.

Selain itu, sumbernya juga lain dari air mineral biasa di mana air Evian merupakan serpihan salji dan hujan yang mencair di kawasan pergunungan berkenaan.

Faktor exclusivity yang dimiliki jenama berkenaan di kawasan tanah tinggi itu turut menjadi faktor kenapa harganya agak mahal berbanding jenama lain.

Bukan itu sahaja, air mineral ini yang sudah dibotolkan sejak 1826 boleh dikategorikan sebagai air berkualiti malah sudah mendapat pengiktirafan dari badan kesihatan di Perancis pada 1898 sebagai air yang baik untuk manusia disebabkan mempunyai kandungan sodium yang rendah selain mempunyai elektrolit yang tinggi.

Air Evian juga kaya dengan kalsium dan magnesium yang baik untuk badan. Bukan setakat menghilangkan dahaga, malahan ia membantu tubuh anda menjadi lebih sihat.

Faktor-faktor ini menyebabkan jenama berkenaan yang kini dimiliki syarikat multinasional, Danone dikatakan sesuai untuk diminum oleh semua peringkat umur baik dari orang dewasa hinggalah ke bayi kecil.

Selain itu kos penghantaran dan pertukaran matawang turut memainkan peranan sehingga menyebabkan air ini menjadi mahal di banyak negara Asia.

Sebagai contoh air Evian 500ml di UK hanya berharga £0.75, namun harganya di Malaysia adalah sekitar RM4.50. Angka ini sebenarnya tidak jauh berbeza memandangkan £0.75 bersamaan dengan RM4.25.

Foto : Tangkap layar dari Tesco UK

Namun perbezaaan purata gaji bulanan di kedua-dua negara adalah begitu ketara dimana purata gaji di UK ialah £1,950 (RM11,050) berbanding RM2,900 di Malaysia.

Baru terasa mahal kan?

Namun apalah sangat kehebatan sesuatu jenama jika tiada teknik pemasaran yang hebat dan gilang-gemilang bukan?

Air ini tidak menjadi terkenal dan menjadi pilihan banyak pemimpin dunia, golongan elit, golongan selebriti, ahli sukan dan orang-orang kaya dalam sekelip mata dan begitu sahaja.

Foto : IG Gigi Hadid

Foto : Malaysia Update

Foto : Istana Negara

Cukup dikenali kerana menjadi sponsor acara-acara sukan besar

Sebaliknya jenama air mineral semakin dikenali apabila banyak menaja untuk acara-acara sukan besar dan gah seperti tenis, golf dan lain-lain. Antara kejohanan-kejohanan yang ditaja Evian adalah seperti Tenis Terbuka (ATP) Wimbledon, ATP Terbuka US, The Evian Championship dan banyak lagi.

Malah ia juga mempunyaiduta dari kalangan pemain tenis hebat seperti Maria Sharapova dan Stan Wawrinka.

Dek kerana popularitinya, nama Evian kin begitu gah hingga berjaya menembusi pasaran-pasaran di Eropah, Amerika, Australia Asia dan Afrika.

Kos botol yang mahal

Jenama Evian menggunakan botol dari polyethylene terephthalate (PET) iaitu bahan yang mudah dikitar semula. Meskipun ia mudah dikitar, proses menghasilkannya adalah sedikit kompleks.

Selain itu Danone turut mengambil serius isu keselamatan bahan dalam meghasilkan botol dimana ia perlulah dipastikan bersih dan selamat untuk kesihatan.

Bukanlah air ‘kosong’ termahal

Namu satu perkara yang harus anda tahu, air Evian bukanlah satu-satunya air kosong botol yang mahal sebaliknya terdapat banyak lagi jenama lain yang jauh lebih mahal antaranya Filico, Lauquen Artes, 10 Thousand BC, Bling dan banyak lagi.

Harga-harga segelintir air sebenarnya jauh lebih ‘bangsawan’ dari jenama Evian dan jauh lebih menarik dari segi pembungkusannya.

Namun sebaik mana atau sehebat mana setiap jenama air tersebut, bagi orang Islam seperti penulis, air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan tetap menjadi pilihan utama.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.