fbpx
Now Reading
Panas Isu Ayam, Telur Mahal & Kurang Stok, Tauke Ayam Perjelas Apa Sebenarnya Terjadi

Panas Isu Ayam, Telur Mahal & Kurang Stok, Tauke Ayam Perjelas Apa Sebenarnya Terjadi

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa minggu lalu, media sosial hangat membincangkan mengenai kekurangan bekalan ayam dan telur ayam.

Tidak tahu di mana silapnya, orang ramai bagaimanapun mahu kerajaan untuk segera menangani isu ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang di masa akan datang.

Ini kerana bahan mentah ini merupakan salah satu sumber makanan asas di negara kita selain ia akan turut memberikan impak kepada peniaga yang menjadikan ayam dan telur sebagai bahan utama perniagaan mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kemudiannya memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan subsidi sebanyak 60 sen setiap kilogram kepada penternak ayam mulai 5 Februari hingga 4 Jun sebagai usaha membantu para penternak.

Persoalannya apakah sebenarnya yang terjadi dan kenapa isu ini berlaku di negara kita?

Seorang pengguna Facebook, Wak Akob atau Encik Yani Hardinata Hairuddin yang juga pemilik ladang dan penternak ayam kemudiannya tampil berkongsikan kepada orang ramai apa sebenarnya yang terjadi di sebalik isu hangat tersebut.

Suatu masa dahulu, harga ayam bergantung pada kos

Menurut Yani, harga ayam suatu ketika dahulu bergantung kepada kos tanpa sebarang harga tetap. Dengan kaedah sebegini, semua mereka yang terlibat dalam perniagaan ayam dari pengilang dedak sehingga peniaga tidak berdepan sebarang masalah.

Diringkaskan, sekiranya harga kos naik, harga ayam juga akan meningkat dan apabila harga kos menurun, harga ayam juga berkurangan.

Namun sejak tahun lalu beberapa faktor seperti kelemahan ringgit, kenaikan kos penghantaran antarabangsa dan isu bekalan menyebabkan harga bahan mentah import meningkat.

Foto : FB Ayam Wak Akob

Ini menyebabkan kos penternak menjadi begitu tinggi dalam sekelip mata.

Assalamualaikum, saya Yani. Pengalaman dalam industri ayam taklah banyak, adalah dalam 10 tahun dalam penternakan, proses dan perniagaan ayam.Hari ini saya nak kongsi kisah sebenar, lengkap, kenapa sejak akhir2 ini ayam tiada di pasar, KFC tiada ayam goreng dan ayam naik harga. Pada suatu masa dahulu, harga ayam naik turun. Harga bergantung apa? Bergantung kos.

Kos naik, harga naik, kos turun, harga turun. Semua pengilang dedak, penternak, peniaga ayam, hidup dengan aman damai.

Kemudian, pada tahun lepas harga bahan mentah import meningkat mendadak kerana kelemahan ringgit, kenaikan kos penghantaran antarabangsa dan faktor bekalan.

Jadinya, harga jagung meningkat (lebih 100% pada 2021), harga kacang soya meningkat (meningkat lebih 30% pada 2021), harga gandum meningkat.

Semua ini, bahan-bahan yang menjadi kandungan utama dedak (lebih 80%) dan bahan-bahan ini, diimport.

Kenapa makanan ayam diimport?

Sebelum anda tanya, kenapa makanan ayam diimport, ini ceritanya. Ayam daging ni, dedak-dedaknya dihasilkan dengan tepat supaya ayam cukup nutrien, boleh membesar dengan maksima dan efisien dalam tempoh ditetapkan dan yang paling penting, dedak mestilah makanan yang ayam suka makan.

Baka-baka ayam ini kebanyakannya baka-baka import seperti COBB, ROSS, Indian River, mereka bukan makan jagung manis Cameron Highland, mereka makan jagung bijirin. Ia tidak ditanam secara meluas di Malaysia. Bahan-bahan ni, kita bukan import sikit-sikit. 

Setahun, lebih 3.9 juta metrik tan jagung bijirin lebih 1.4 juta metrik tan soya diimport. Boleh kita hasilkan sebanyak tu? Boleh, memang boleh.

Jadi bila bahan-bahan mentah ini naik harga, harga dedak meningkat. Dari RM80/50kg kepada RM120/50kg (meningkat lebih 50%). Bila meningkat, kos ternakan meningkat. Dan macam biasa, logiknya, harga ayam meningkat dan itulah yang berlaku, sehingga 4 Disember 2021.

“Bila harga kawalan ditetapkan, kami bukan kurang untung, kami rugi”

Harga kawalan ditetapkan pada RM9.30 tanpa kawalan harga/subsidi  kepada dedak. Sebenarnya, pengilang dedak, penternak dah lama menyerap kenaikan harga, supaya harga kepada pengguna tidak terlalu membebankan. Bila harga kawalan ditetapkan, kami bukan kurang untung, kami rugi.

Jadi kami penternak kurangkan kemasukan ayam di ladang supaya kerugian dapat dikurangkan sementara kami nampak titik keluar. Jadi sebab itulah ayam kurang. Tiada konspirasi, tiada agenda, hanya penternak nak meneruskan kelangsungan hidup.

Kemudian, harga kawalan makin turun RM9.10, kemudian RM8.90 ada pula buat RM8. Penternak makin tersepit, dan ada yang dah gulung tikar. Bukan anak ayam tiada atau bermasalah, tapi siapa yang nak ternak ayam bila rugi.

Selepas penternak, ramai peniaga dan pekerja dalam industri ini akan juga kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Kami harap titik tengah dapat dicapai supaya industri ini dapat kekal, dan dalam masa yang sama pengguna dapat membeli makanan asas dalam harga mampu milik.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.