fbpx

Lelaki Di Arab Saudi Kini Boleh Pakai Seluar Pendek Di Tempat Awam

Dengan perubahan ini, pemakaian seluar pendek di tempat awam bukan lagi satu kesalahan di sana.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum yang pernah atau ingin mengunjungi negara Arab Saudi untuk tujuan umrah atau perniagaan pasti tahu yang negara tersebut tidak membenarkan rakyat mereka mahupun orang luar untuk memakai pakaian yang tidak menutup aurat.

Bukan sahaja wanita, malah kaum lelaki tanpa mengira agama juga perlu mematuhi tatacara pemakaian tersebut termasuklah larangan memakai seluar pendek di tempat awam.

Larangan ini diperkenalkan pada 2019 sewaktu kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan undang-undang kesopanan awam di negara tersebut pada November 2019 sebagai persediaan mereka untuk membuka pintu kepada pelancong asing.

Ini bagi memastikan pelawat dan pelancong ke Arab Saudi sedar wujudnya undang-undang berkaitan tingkah laku di tempat awam yang patut dipatuhi di negara tersebut.

Foto : Visit Saudi

Terbaharu kerajaan mereka dilaporkan telah meluluskan undang-undang yang membenarkan golongan lelaki untuk berseluar pendek di tempat awam.

Menerusi laporan Saudi Gazette, ini sekaligus menjadikan pemakaian seluar pendek di tempat awam bukan lagi satu kesalahan di bawah undang-undang kesopanan awam, kecuali di masjid atau pejabat kerajaan.

Difahamkan, perubahan ini berkuat kuasa selepas Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz Bin Saud mengumumkan keputusan kementeriannya yang bersetuju dengan pelaksanaan pindaan tersebut.

Dengan perubahan berkenaan, mereka kini memasukkan satu larangan baru dari 19 larangan asal iaitu melarang mana-mana individu untuk memakai seluar pendek di kawasan masjid dan pejabat awam atau berdepan denda antara SR250 – SR500 (RM280 hingga RM558).

Sebagai info, antara 19 kesalahan yang terdapat di dalam undang-undang kesopanan awam di sana ialah berpakaian tidak senonoh, bercumbu, membuang sampah, meludah, memotong barisan, mengambil gambar dan video orang lain tanpa kebenaran selain memasang muzik sewaktu azan.

Namun kesalahan yang paling serius dan paling tinggi dendannya adalah melakukan perkara tidak senonoh seperti bercumbu di mana dendanya ialah SR3000 bagi kesalahan pertama dan SR6000 bagi kesalahan berulang.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.