Tular Video Salji Di Gunung Kinabalu, Ini Penjelasan MetMalaysia
Menurut Muhammad Helmi, meskipun fenomena ini jarang dilihat, tapi ia bukanlah perkara mustahil untuk berlaku di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak pagi tadi, tular di media sosial beberapa klip video memperlihatkan fenomena salji di puncak Gunung Kinabalu.
Meskipun hanya berlaku selama beberapa minit, fenomena itu telah membuatkan para pendaki dan pengguna Facebook terpegun, bahkan turut mencuri perhatian malim Gunung Kinabalu sendiri.
Menerusi laporan Utusan, Malim Gunung merangkap pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin yang merakam video berkenaan menjelaskan ianya berlaku secara spontan ketika dia sedang menunggu pendaki yang berada di puncak untuk turun ke pusat pemeriksaan Sayat- Sayat.
“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.18 pagi dan itu memang salji sebab ringan. Kalau ketulan ais yang turun ia lebih berat,” kata Hajiri yang mengakui pernah berdepan perkara sama pada 2018.
Rakaman mengenai fonemena sama turut tular di TikTok selepas dikongsikan seorang lagi Malim Gunung, Ivnur John S.
@ivnurjonns #salji #GunungKinabalu #fyp #malimgunungkinabalu ♬ original sound – IvnurJonn S
Bukan perkara mustahil walaupun jarang berlaku – KP MetMalaysia
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah, fenomena ini jarang dilihat tapi ia bukanlah perkara mustahil untuk berlaku di kawasan tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Beliau berkata ianya disebabkan keadaan dan suhu di udara yang mencecah kosong darjah Celsius selain terdapat kelembapan yang mencukupi.
“Apabila suhu udara mencecah 0 darjah celcius atau rendah darinya, salji boleh terbentuk sekiranya ada kelembapan yang mencukupi.
“Suatu fenomena yang jarang kita lihat tapi boleh berlaku,” kata beliau menerusi satu video kenyataan media yang dikongsikan rakan wartawan TV3, Norfazilah Mohd Sahir di Twitter miliknya.
Kali terakhir berlaku pada 1993
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid menjelaskan fenomena salji di Gunung Kinabalu pernah direkodkan sebanyak dua kali iaitu pada 1975 dan 1993.
Jelas beliau, meskipun ada yang mendakwa pernah terlihat perkara sama sebelum ini, namun sebenarnya ia hanyalah proses pembekuan.
“Namun pagi ini memang salji yang turun. Ia berlaku kira-kira 2 minit sahaja. Salji boleh dilihat dari Sayat-Sayat sehingga puncak Kinabalu di Kilometer 8.72,” kata Justinus.