fbpx
Now Reading
Ditipu Ejen Cari Kerja, Rakyat Malaysia Terkandas Di Myanmar & Dipaksa Jadi Scammer

Ditipu Ejen Cari Kerja, Rakyat Malaysia Terkandas Di Myanmar & Dipaksa Jadi Scammer

Lebih memburukkan keadaan apabila dia dibawa masuk ke negara berkenaan menggunakan lorong tikus.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan kes penipuan tawaran pekerjaan semakin menjadi-jadi di negara kita. Meskipun jumlahnya tidak sebanyak kes penipuan seperti Macau Scam dan Love Scam, keadaan ini jika tidak dibendung mungkin boleh melarat sama seperti kes-kes yang lain.

Terbaharu, beberapa orang rakyat Malaysia dipercayai telah ditipu oleh ejen pencari pekerjaan di Myanmar. Lebih membimbangkan, ia menyebabkan mereka terkandas secara haram di negara tersebut.

Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kulim, Yeo Keng Chuan kepada media.

Menurut Keng Chuan, dia menerima maklumat tersebut dari seorang lelaki Lim Sew Siam, 53 yang memohon bantuan kerajaan untuk membawa pulang anak lelakinya yang merupakan mangsa penipuan tersebut.

Dibawa masuk ke Myanmar guna jalan tikus bersama 7 lagi lelaki

Menurut laporan Utusan, anaknya sebelum ini telah memohon untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat di negara berkenaan.

Namun dia sama sekali tidak menyangka akan ditipu sebaik tiba di sana apabila pekerjaan yang dijanjikan tidak wujud. Lebih memburukkan keadaan apabila dia dibawa masuk ke negara berkenaan menggunakan lorong tikus.

“Anak lelakinya kemudian mendapat pekerjaan terbabit dan ejen pencari pekerjaan tersebut selepas itu mengarahkan anak lelakinya itu ke Kuantan, Pahang  pada 2 Januari untuk berkumpul bersama pekerja lain sebelum bertolak ke Myanmar.

“Syarikat terbabit membawa anak lelakinya itu bersama tujuh lagi lelaki ke Myanmar melalui lorong tikus di antara Malaysia, Thailand dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dipaksa menjadi scammer

Lebih mengejutkan apabila mangsa yang menghubungi ibunya pada 8 Mac lalu menerusi aplikasi WeChat mengadu bahawa pekerjaan yang dijanjikan bukan sahaja tidak wujud malah dia dipaksa menjadi ‘scammer operator’ secara dalam talian dengan menggunakan komputer.

Tak diberi makan & tidur yang cukup

Bukan itu sahaja, dia turut mengadu tidak diberi makan dan rehat yang cukup. Malah gerak-gerinya juga sentiasa diperhatikan.

“Mangsa memaklumkan dia tidak diberikan makanan dan masa tidur yang mencukupi, malah pergerakan mangsa juga dikawal oleh beberapa individu,’ ujarnya lagi.

Nak balik kena bayar RM40k

Mangsa kemudian meluahkan hasratnya untuk berhenti kerja dan pulang ke tanah air. Dia bagaimanapun diugut perlu membayar RM40,000 jika ingin berbuat demkian.

Sehubungan itu, ibu mangsa telah bertindak membuat aduan di pejabat ADUN Kulim bagi mendapatkan bantuan kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi anaknya itu.

“Saya sudah menghantar surat memohon bantuan daripada Kementerian Luar Negeri untuk menyelamatkan mangsa bersama beberapa rakyat Malaysia lagi yang terkandas dan tertipu dengan sindiket pekerjaan di Myanmar,” katanya lagu.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.