Sebelum ini pelbagai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah ditetapkan bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun demi menjaga golongan ini dari terus dijangkiti virus tersebut.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan bahawa selaras dengan peralihan fasa endemik bermula 1 April ini, kanak-kanak yang di bawah 12 tahun akan dibenarkan untuk masuk ke dalam stadium.
Malah menerusi laporan Bernama, beliau turut memaklumkan aktiviti makan dan minum di dalam stadium juga dibenarkan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan apabila stadium dan pusat kejohanan membenarkan penonton makan dan minum, selain kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dibenarkan masuk. Sudah tentu kelonggaran ini disambut baik oleh orang ramai.
“Namun prosedur operasi standard (SOP) untuk terus memakai pelitup muka jika tidak minum atau makan, serta penjarakan sosial perlu dipatuhi,” kata Menteri Belia dan Sukan itu.
Menurutnya juga, Majlis Keselamatan Negara akan membuat perincian lebih banyak kelonggaran SOP dalam masa terdekat.