fbpx
Now Reading
CIMB Saman Balas 12 Pihak Yang Dibekukan Akaun, Tuntut RM1.39 Juta Dengan Faedah

CIMB Saman Balas 12 Pihak Yang Dibekukan Akaun, Tuntut RM1.39 Juta Dengan Faedah

Menurut CIMB, 12 pihak tersebut tidak memaklumkan apabila tambahan dana pendua dipindahkan ke dalam akaun mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sekitar Januari lalu, segelintir pengguna CIMB melaporkan berdepan situasi kewangan yang tidak dijangka apabila mendakwa menerima notifikasi SMS perlu membayar sejumlah wang kepada pihak bank.

Apa yang mengejutkan ada yang mendakwa akaun mereka telah dibekukan dan ada juga yang berdepan hutang setinggi RM130 ribu.

CIMB kemudiannya tampil memohon maaf dan menjelaskan perkara ini terjadi kerana ralat pemprosesan di mana ada dana pendua (duplicate funds) yang dikreditkan ke dalam akaun pelanggan, justeru pihaknya perlu mendebitkan semula duit tersebut untuk dibayar kepada bank.

Baca artikel berkaitan : Pengguna CIMB Dakwa Akaun Bank Ada Masalah, Terpaksa Bayar Hutang ‘Tak Wujud’ Lebih RM28K

12 pemilik akaun saman CIMB

Isu tersebut kemudian berlarutan sehingga ke bulan Mac apabila media melaporkan 12 pemilik akaun yang terjejas iaitu 9 individu dan 3 perniagaan telah bertindak memfailkan saman pernyataaan tuntutan terhadap CIMB Bank dan CIMB Islamic.

Menurut mereka, tindakan pembekuan akaun tersebut telah melanggar kontrak apatah lagi ralat pemprosesan itu dilakukan pihak bank justeru ia bukanlah salah mereka.

12 pihak tersebut tidak maklumkan ada dana pendua dipindahkan

Terbaharu, CIMB pada 30 Mac dilaporkan telah memfailkan saman balas terhadap 12 pihak tersebut atas apa yang disifatkan mereka sebagai “pernyataan tuntutan”.

Menurut CIMB, 12 pihak tersebut tidak memaklumkan apabila tambahan dana pendua dipindahkan ke dalam akaun mereka.

Justeru CIMB mempunyai kuasa dan bebas untuk mendapatkan semula jumlah dana pendua tersebut — kerana ia adalah sebahagian daripada terma dan syarat yang dipersetujui oleh pelanggan.

“Plaintif menerima dana dalam akaun masing-masing dan atau membuat pengeluaran dana melebihi jumlah kredit pendua yang diterima oleh setiap plaintif.

“Plaintif juga menerima, menikmati dan mengambil kesempatan melalui kredit pendua yang tersilap dikreditkan ke dalam akaun plaintif disebabkan kesilapan pemprosesan pemindahan MoneySend yang tidak disengajakan seperti dalam rayuan,” lapor FMT yang memetik kenyataan pembelaan itu.

Turut tuntut RM1.39j bersama tambahan faedah

Bukan itu sahaja, CIMB juga mahu perintah dikeluarkan agar kesemua mereka membayar balik RM1.39 juta yang dikreditkan secara tidak sengaja ke dalam akaun mereka bersama tambahan faedah.

Terdahulu CIMB memaklumkan masalah ini terhad kepada pelanggan yang melakukan pemindahan dari luar negara dalam negara dan berjanji untuk menawarkan penyelesaian untuk pelanggan yang terjejas.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.