fbpx
Now Reading
Ejek-Mengejek Punca Tercetus Pergaduhan 7 Pelajar Di Sepang [Video]

Ejek-Mengejek Punca Tercetus Pergaduhan 7 Pelajar Di Sepang [Video]

Difahamkan, tiada kecederaan yang dilaporkan dan mereka semua sudah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak petang Rabu (6 April), tular di media sosial satu video mempaparkan satu insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar di sebuah sekolah di Sungai Pelek, Sepang.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat pergaduhan berkenaan cuba dileraikan oleh beberapa guru wanita sekolah itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, insiden yang berlaku semasa waktu rehat itu berpunca dari ejek-mengejek di mana seorang pelajar Tingkatan Tiga telah diejek oleh pelajar Tingkatan Empat.

“Pelajar berusia 15 tahun itu telah hilang sabar lalu menolak pelajar berusia 16 tahun tersebut.

“Pelajar Tingkatan Empat itu kemudian telah menumbuk di bahagian muka pelajar Tingkatan Tiga, namun tumbukan itu hanya terkena sedikit, lalu berlaku tolak menolak di antara sekumpulan pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Wan Kamarul lagi, dalam masa sama sekumpulan pelajar telah membuat provokasi antara satu sama lain, namun insiden itu berjaya disuraikan oleh guru-guru yang berada di lokasi kejadian.

Pengurusan sekolah kemudiannya bertindak menghubungi anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sekolah itu. Dua PPS yang hadir kemudian memberi nasihat dan amaran keras kepada pelajar terbabit.

Tambah beliau lagi, tiada keceraan yang dilaporkan dan mereka semua juga sudah berdamai serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

“Kami telah menghantar dua anggota ke sekolah berkenaan selepas menerima panggilan daripada Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) pagi semalam. Anggota saya turut memberi nasihat dan amaran keras kepada tujuh pelajar terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan terhadap semua pelajar yang terlibat dan mereka mengakui kesalahan,” kata beliau .

“Pengetua dan pihak sekolah juga tidak membuat apa-apa laporan polis memandangkan kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan dan mereka akan mengambil tindakan disiplin ke atas semua pelajar yang terlibat,” katanya



© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.