fbpx
Now Reading
Bersetubuh Di Siang Ramadan, Hukuman Kaffarah Untuk Suami Sahaja Atau Isteri Sekali?

Bersetubuh Di Siang Ramadan, Hukuman Kaffarah Untuk Suami Sahaja Atau Isteri Sekali?

Bersetubuh bukan sahaja membatalkan puasa, bahkan mereka yang melakukannya wajib dikenakan kaffarah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia. Dalam kita melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan terdapat beberapa hukum yang perlu dipatuhi agar ibadah yang dilakukan tidak terbatal.

Namun, sebagai seorang manusia kita juga sering diuji dengan nafsu dan ia menimbulkan persoalan bagaimanakah hukumnya dan bagaimana ia dilaksanakan.

Sebagai contoh suami isteri yang bersetubuh ketika siang hari semasa Ramadan perlu dikenakan kaffarah, namun persoalannya siapakah yang perlu dikenakan kaffarah tersebut? Adakah suami sahaja atau kedua-duanya sekali?

Untuk menjawab persoalan tersebut, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri telah berkongsi menerusi catatannya di dalam Maktabah al-Bakri yang menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci.

Foto: IG Dr. Zulfikli Mohammad Al-Bakri

Kaffarah Bersetubuh: Suami sahaja atau kedua-duanya sekali?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Adakah isteri yang berjimak di siang Ramadan turut dikenakan kaffarah sebagaimana suaminya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam junjungan besar kepada Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang mengikut jejak langkah Baginda sehingga ke hari kiamat.

Dimulakan dengan firman:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Maksudnya: “Telah dihalalkan buat kamu pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kamu.”

Kaedah untuk memahami hukum ini berdasarkan ayat tersebut adalah dengan menggunakan kaedah Mantuq dan juga Mafhum di dalam usul fiqh.

Mantuq bermaksud sesuatu perkara yang dituturkan dan mahfhum pula sesuatu yang difahami daripada ayat yang telah dituturkan.

Ini bermaksud apabila Allah menyatakan bahawa halal bagi pasangan suami isteri itu untuk bersama ketika di malam hari puasa, itu merupakan mantuq (yang dituturkan). Mafhum pula yakni yang difahami – daripada ayat tersebut ialah haram untuk bersetubuh ketika disiang hari pada bulan puasa.

Bersetubuh di siang hari Ramadan termasuk dalam perkara membatalkan puasa

Foto: Freepik

Bersetubuh bersama isteri ketika di siang hari Ramadan juga termasuk di dalam perkara yang membatalkan puasa. Dr. Muhammad al-Zuhairi turut menyatakan, persetubuhan yang dilakukan ketika siang hari Ramadan secara sengaja membatalkan puasa ijmak ulama, walaupun tidak berlaku inzal- iaitu keluar air mani.

Akan tetapi, persetubuhan yang dilakukan ketika di malam hari Ramadan tidak sama sekali menjejaskan puasanya berdasarkan ayat tersebut kerana perkataan “ٱلرَّفَثُ” membawa maksud jimak.

Wajib dikenakan kaffarah bagi mereka yang tahu dan sedar akan perbuatannya

Seterusnya, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Mahanji bahawa sesiapa yang dengan sengaja telah membatalkan puasa dengan melakukan persetubuhan dan dengan syarat dia menyedari dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya haram serta bukan bermusafir yang diberikan keinginan, wajib baginya dikenakan kaffarah.

Namun, sekiranya seseorang itu terlupa dirinya sedang berpuasa Ramadan, jahil berkenaan haramnya membatalkan puasa Ramadan, sengaja membatalkan puasa Ramadan selain bersetubuh atau dalam musafir yang diharuskan untuk berbuka lalu dia melakukan persetubuhan dalam keadaan tersebut, adalah wajib baginya untuk qadha (menggantikan) sahaja puasa tanpa perlu kaffarah.

Kaffarah yang dikenakan kepada suami yang berjimak di siang puasa Ramadan

Seterusnya, kaffarah yang wajib – secara tertibnya ia tidak boleh pergi kepada seterusnya melainkan tidak mampu untuk pada sebelumnya – ini kerana membatalkan puasa dengan persetubuhan ialah:

  1. Membebaskan seorang hamba sahaya yang beragama islam sama ada ia seorang lelaki mahupun perempuan.
  2. Jika tidak berkemampuan, dia hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
  3. Sekiranya tidak mampu juga, dia hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin dengan setiap seorang secupak makanan kebiasaan penduduk negeri itu.

Namun, sekiranya seorang itu masih tidak berkemampuan, kaffarah tersebut menjadi tanggunggannya sehinggalah dia mampu untuk melaksanakan satu daripadanya.

Ini adalah berdasarkan hadith dari Abu Hurairah R.A, yang berkata:


بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: «مَا لَكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟» قَالَ: لاَ، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ»، قَالَ: لاَ، فَقَالَ: «فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا». قَالَ: لاَ، قَالَ: فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ – وَالعَرَقُ المِكْتَلُ – قَالَ: «أَيْنَ السَّائِلُ؟» فَقَالَ: أَنَا، قَالَ: «خُذْهَا، فَتَصَدَّقْ بِهِ» فَقَالَ الرَّجُلُ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا – يُرِيدُ الحَرَّتَيْنِ – أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Maksud: “Ketika kami sedang duduk di sisi Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba seorang lelaki datang kepadanya, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah binasa’. Baginda bertanya: ‘Ada apa denganmu?’ Dia menjawab: ‘Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa’. Lalu Nabi SAW bertanya: ‘Adakah engkau boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?’ Jawabnya: ‘Tidak’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?’ Jawabnya: ‘Tidak’. Setelah itu, Baginda bersabda lagi: ‘Adakah engkau mampu memberikan makan kepada 60 orang miskin?’ Jawabnya: ‘Tidak’. Nabi SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, dibawakan kepada Nabi SAW satu bakul berisi kurma di dalamnya. – “العَرَقُ” ialah “المِكْتَلُ” iaitu bakul – Lalu baginda bersabda: ‘Di manakah orang yang bertanya tadi? Dia menjawab: ‘Aku’. Baginda bersabda: Ambillah ini dan sedekahkan ia (sebagai kaffarah): Dia bertanya lagi: ‘Adakah (diberikan) ke atas orang yang lebih fakir daripadaku ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada antara dua tempat berbatu di Madinah – iaitu bermaksud dua tempat berbatu hitam – penghuni rumah yang lebih miskin daripada penghuni rumahku.’ Nabi SAW tertawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: Berikanlah makan (kurma itu) kepada ahli keluargamu.”

Kaffarah hanya wajib dikenakan kepada suami sahaja

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menurut mazhab Syafi’i kaffarah itu hanya wajib dikenakan kepada suami yang berjimak sahaja. Ini bermaksud, tidak wajib bagi isteri atau perempuan yang disetubuhi walaupun mereka berpuasa.

Ini kerana jenayah atau kejahatan menyetubuhinya adalah lebih berat dan kerana itu suami lebih sesuai dikenakan kaffarah tersebut.

Foto: Pexel

Dr. Muhammad al-Zuhaili turut menyebut, kaffarah diwajibkan kepada suami kerana ia merupakan hak harta yang khusus dengan sebab jimak, jadi ia dikhususkan pada lelaki dengannya dan bukan kepada wanita seperti mahar.

Kerana perbuatan jimak disandarkan kepada suami dan kerana itu diwajibkan keatasnya kaffarah. Namun begitu, wajib bagi wanita untuk menggantikan (qadha’) puasanya sahaja.

Selain itu, terdapat juga para ulama yang berpendapat isteri yang berjimak pada siang hari Ramadan secara sukarela perlu dikenakan kaffarah.

Hal ini jelas seperti yang dikatakan oleh al-Buhuti, isteri yang tidak bersetubuh di siang hari Ramadan secara sukarela, tidak jahil tentang hukum haramnya dan tidak terlupa sedang berpuasa adalah seperti lelaki – yakni suaminya – dari segi kewajipan untuk qadha’ (menggantikan puasa) dan kaffarah.

Kerana perkara tersebut telah mencemarkan kesucian puasa Ramadan dengan bersetubuh (di siang hari) secara sukarela. Oleh itu, dia menyerupai lelaki dari segi hukum di dalam perkara tersebut.

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan demikian, mereka berpendapat kaffarah disebabkan bersetubuh ketika siang Ramadan hanya wajib kepada suami sahaja seperti mana yang dikatakan oleh mazhab Syafi’i. Oleh itu, isteri yang berjimak hanya diwajibkan untuk menggantikan puasa dan tidak dikenakan kaffarah.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan oleh bekas Mentari Agama ini telah menjawab segala persoalan dan memberikan kefahaman yang jelas kepada semua umat Islam.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.