Bukan Sahaja Dikecam, Lukisan Monyet Dengan Pakaian Istana Buatkan Fahmi Reza Kini Ditahan Polis
Satira kombinasi muka Mojo Jojo dengan baju istana berwarna kuning menyebabkan dia disiasat di bawah Akta Hasutan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tindakan aktivis kontroversi, Fahmi Reza memuat naik lukisan monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning di laman media sosial menyebabkan dia kini ditahan pihak polis.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, Fahmi Reza atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zari telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang semalam.
Tambah beliau, polis akan memohon perintah reman di mahkamah pada hari ini (15 April).
“Hantaran berkenaan (di Facebook) telah mengundang kemarahan masyarakat yang menyifatkannya sebagai keterlaluan. Ia telah mendapat 12,000 respons termasuk 3,400 komen dan dikongsikan sebanyak 966 kali sejak dimuat naik.
“Kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut,” kata beliau dalam kenyataan.
Hanya ditahan reman 1 hari
Namun menurut perkongsian peguam, Rajsurian Pillau, Fahmi hanya akan direman sehari sahaja di mana dia dijangka dibebaskan pada hari ini.
Muat naik foto Mojo Jojo dengan baju istana
Terdahulu Fahmi menjadi perhatian netizen selepas memuat naik karikatur monyet lengkap bertengkolok di laman Facebook dan juga Twitter.
Monyet berkenaan sebenarnya bukan asing di kalangan ramai dari kita memandangkan ia adalah karakter jahat di dalam animasi kanak-kanak, Powerpuff Girls yang dikenali sebagai Mojo Jojo.
Teruk dikecam orang ramai
Namun padanan karakter tersebut dengan baju seragam istana menyebabkan dia teruk dikecam apabila majoriti netizen di kedua-dua platform menyifatkan dia sudah melampaui batas dalam meluahkan pendapat dan berkarya.
Malah ada beberapa individu yang dahulunya kagum dengan aktivisi itu turut merasakan dia kini sudah tidak dapat membezakan apa yang boleh dilakukan dan apa yang dilarang.
Namun masih ada segelintir yang masih menyokong tindakan aktivis tersebut dan merasakan karikatur tersebut tidak seteruk mana.
Maklumkan telah dipanggil dan sudah menjangkakan akan ditahan
Dia menerusi satu kemaskini kemudiannya memaklumkan telah menerima panggilan dari Bukit Aman yang memintanya untuk hadir ke balai bagi disoal siasat.
“Aku dah terima panggilan telefon dari Bukit Aman. Tak sampai 15 jam polis dah buka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan dan Akti Sakit Hati kerana grafik staria beruk yang aku post malam tadi (Rabu).
“Polis minta datang balai untuk disoalsiasat petang (Khamis) ni juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM,” kongsi Fahmi di Twitter lagi.
Sebagai rekod, beberapa hari sebelum foto ini dimuat naik, laman Instagram rasmi Royal Selangor melaporkan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah membeli sekeping lukisan ‘unik’ yang memaparkan suasana di Parlimen Malaysia.
Menerusi karya tersebut, ahli parlimen Malaysia digambarkan sebagai kumpulan haiwan yang terdiri daripanya sekumpulan monyet dan katak.
Baca artikel berkaitan :